EKONOMI

WACANA GLOBAL WIEF BINCANGKAN KESELAMATAN SIBER UNTUK PERUSAHAAN MIKRO, PKS

11/12/2020 12:41 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis -- Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF), melalui Amanah Pendidikan WIEF (WET), akan menganjurkan Wacana Global WIEF ke-10 mengenai Keselamatan Siber untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) pada 15 Dis menerusi platform Zoom.

Bertemakan “Risks, Adversity and Trust", sesi selama 45 minit itu akan membincangkan pentingnya mendapatkan infrastruktur dan data teknologi maklumat (IT), serta cara untuk mengatasi ancaman sambil memastikan pemilik perniagaan menyedari keperluan mendesak untuk melindungi perniagaan dan pekerja masing-masing.

Dalam satu kenyataan hari ini, WIEF berkata pandemik COVID-19 telah mempercepat pendigitalan syarikat dengan purata global selama enam tahun.

Walaupun ini adalah kesan positif daripada pandemik, dunia juga terpaksa berhadapan dan mengurus ancaman yang datang bersama kemajuan digital.

"Terdapat peningkatan ketara jenayah dan penipuan dalam talian, terutama yang ditujukan kepada perusahaan MSME kerana mereka merupakan sasaran mudah berikutan kekurangan sumber untuk melaksanakan penyelesaian keselamatan siber yang komprehensif.

"Sudah tiba masanya perniagaan ini mulai mengutamakan keselamatan siber, dengan terlebih dahulu memahami dan menghargai nilai pangkalan data perniagaan dan bagaimana mereka dapat melindunginya daripada serangan berbahaya," kata WIEF.

Penceramah untuk wacana tahun ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CyberSecurity Malaysia, Datuk Amirudin Abdul Wahab, Presiden dan CEO US GrowBiz Media, Rieva Lesonsky dan Pengerusi dan CEO Matryzel Consulting Inc, Bobby Varanasi  dengan Pengarah Urusan Glenreagh Sdn Bhd, Nordin Abdullah bertindak sebagai moderator.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan