EKONOMI

Infak belian di Kedai MAIWP untuk bantu asnaf

15/12/2020 10:32 PM

PUTRAJAYA, 15 Dis  -- Orang ramai dialu-alukan untuk menginfakkan barangan makanan yang dibeli di Kedai MAIWP di bawah Program Gerobok Rezeki bagi membantu golongan asnaf dan mereka yang kesempitan hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Akbar Samon berkata barangan yang ingin diinfakkan boleh diletakkan di tempat yang disediakan di hadapan Kedai MAIWP di Presint 5 dan Presint 9, di sini.

Pada majlis Santunan Asnaf di Kedai MAIWP di sini hari ini, seramai 50 orang asnaf di Putrajaya menerima sumbangan berupa barangan makanan seperti beras, minyak masak, gula, biskut dan barangan keperluan harian yang lain.

Kedai MAIWP ditubuhkan MAIWP pada 2011 untuk memasarkan pelbagai jenis produk tempatan dan antarabangsa serta menyediakan perkhidmatan untuk masyarakat berbelanja dengan jaminan tawaran harga yang kompetitif.

Akbar pada majlis itu berkata Kedai MAIWP turut bekerjasama dengan aplikasi Mypasar untuk memasarkan perniagaan mereka secara dalam talian.

"Pengguna boleh menggunakan aplikasi tersebut untuk membuat pembelian di Kedai MAIWP dan membuat bayaran secara dalam talian dan barangan akan dihantar terus ke rumah pembeli dengan cepat dan selamat," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Dzulkifli Mohamad Al-Bakri, dalam ucapannya sempena majlis itu yang dibacakan Akbar, berkata Program Gerobok Rezeki diharap mampu mengurangkan beban kesempitan hidup yang ditanggung oleh asnaf ketika pandemik COVID-19 terutamanya di Wilayah Persekutuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan