AM

IBU BAPA PERLU SEDIAKAN PERSEKITARAN INTERNET SELAMAT UNTUK KANAK-KANAK

17/12/2020 12:45 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis  -- Ibu bapa perlu memikirkan mengenai kawalan internet dalam usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat untuk anak-anak mereka, menurut pengasas eSafeKids di Australia Kayelene Kerr.

Katanya, dengan peningkatan kes ‘online grooming’ atau antun seksual dalam talian, adalah penting untuk ibu bapa sentiasa peka dengan bahaya yang mungkin berlaku, dan bekerjasama bagi membentuk kefahaman mengenai amalan keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak.

Beliau menegaskan bahawa ibu bapa perlu tahu antun seksual dalam talian adalah salah satu elemen utama kes eksploitasi seksual dalam talian, dan pihak terbabit secara aktif akan mencari mangsa baharu terutama kanak-kanak dan remaja setiap masa.

“Antun seksual dalam talian adalah rancangan awal dengan tujuan menjalin beberapa bentuk hubungan dengan kanak-kanak atau remaja, yang boleh membawa kepada penderaan seksual.

“Dianggarkan kira-kira 750,000 pemangsa dalam talian, aktif di internet pada satu-satu masa berdasarkan penguatkuasaan global dan mungkin lebih,” katanya.

Kerr berkata demikian pada sesi maya kedua mengenai Keselamatan dan Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian (COSP) yang dimoderatorkan Naib Presiden Kanan Serba Dinamik Group Berhad (SDGB) Cybersecurity Kol (B) Datuk Dr Husin Jazri.

Beliau berkata adalah penting untuk mengajar dan melengkapkan kanak-kanak mengenai istilah yang tepat mengenai bahagian-bahagian peribadi atau sulit mereka.

“Ajar kanak-kanak istilah yang tepat mengenai bahagian sulit mereka sama seperti mengajar mereka mengenali kepala, bahu, lutut, kaki, siku, tangan, mata, telinga, hidung dan sebagainya.

“Tiada siapa dibenarkan menyentuh atau mengambil gambar atau video bahagian sulit tanpa alasan yang baik. Jika anda menggunakan ‘gelaran’ untuk bahagian sulit, ingatkan anak-anak jika bahagian sulit mereka sakit, jika mereka mempunyai persoalan mengenai bahagian sulit mereka atau seseorang telah menyentuh atau meminta untuk menyentuh bahagian sulit, untuk memberitahu ibu bapa mereka,” katanya.

Kerr berkata, perbincangan dan pendidikan yang sesuai secara berterusan mengenai tingkah laku perlindungan (keselamatan badan) dan hubungan komprehensif, serta pendidikan seks sangat penting, terutama dengan kebanyakan kanak-kanak melihat, dihantar dan ditunjukkan gambar pornografi di sekolah rendah, dan peningkatan penderaan seksual kanak-kanak serta kanak-kanak atau remaja menunjukkan tingkah laku seksual berbahaya.

COSP, adalah pengukur masa nyata pertama, untuk membantu negara lebih memahami status keselamatan dalam talian kanak-kanak, yang diperkenalkan SDGB dengan kerjasama Cyber8Lab dan eSafeKids.

Sesi berkenaan dianjurkan ESPC, dengan kerja sama SDGB sebagai sebahagian daripada gerakan kerjasama dengan lebih 18 industri dan agensi kerajaan termasuk Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), TechLab Security, Sistem Rangkaian Komputer dan Komunikasi (SRKK), AustCyber dan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan