KUALA LUMPUR, 17 Dis -- Pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang bermula sejak tiga bulan lepas dalam usaha memacu Malaysia ke arah kesalinghubungan digital yang lebih baik telah menepati sasaran yang ditetapkan pada tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu JENDELA hari ini dan menurutnya ketersediaan sambungan jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi telah berjaya melebihi sasaran yang ditetapkan.
“(Sehubungan itu) Pelaksanaan JENDELA bagi tahun 2021 akan dilaksanakan dengan lebih agresif untuk terus menambah baik pengalaman penggunaan jalur lebar di seluruh negara demi mengadaptasi norma baharu dan menggerakkan ekonomi digital.
“Laporan penuh Suku Tahunan JENDELA yang pertama sedang dimuktamadkan dan bakal diumumkan esok," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya JENDELA membawa aspirasi peningkatan liputan dan pengukuhan infrastruktur kesalinghubungan negara yang mampan dan inklusif kepada 96.9 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara, selain mengukuhkan infrastruktur telekomunikasi secara menyeluruh sebagai asas kukuh untuk pengenalan teknologi 5G dalam memacu pertumbuhan ekonomi digital negara.
Saifuddin berkata perancangan untuk membina lebih banyak menara baharu akan terus dipergiatkan bagi meluaskan liputan rangkaian jalur lebar dan mempertingkatkan kualiti pengalaman kepada masyarakat, terutamanya di kawasan luar bandar.
“Kelancaran proses pembinaan menara baharu banyak bergantung kepada hemat kerajaan-kerajaan negeri untuk menyegerakan prosedur kelulusan dan rintangan birokrasi.
“Justeru, kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan dan kerajaan negeri amat diperlukan agar masyarakat luar bandar tidak menanti terlalu lama sehingga terpaksa memanjat pokok, terjatuh daripada jambatan, berkhemah di hutan dan sebagainya untuk mendapatkan liputan internet yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan terus memantau perkembangan inisiatif itu secara dekat bagi memastikan aspirasi JENDELA direalisasikan demi kesejahteraan rakyat.
"Saya yakin JENDELA bakal menjadi komponen penting dalam usaha membawa kemakmuran kepada negara dan semua lapisan masyarakat," katanya.
JENDELA yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos lepas merupakan pelan infrastruktur digital lima tahun, iaitu satu inisiatif di bawah Rancangan Malaysia ke-12 yang bertujuan memenuhi keperluan kesalinghubungan digital serta menyediakan negara bagi peralihan kepada teknologi 5G.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial