AM

JPKK serah memorandum kepada MoF pertimbang cadangan serap pekerja kontrak sebagai pekerja tetap

18/12/2020 01:04 PM

PUTRAJAYA, 18 Dis - Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) telah menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini bagi mempertimbangkan cadangan untuk menghapuskan sistem kontrak, di premis sekolah dan hospital.

Penyelaras JPKK S.Arutchelvan berkata selaras dengan cadangan penghapusan sistem kontrak tersebut, pihaknya berharap pekerja kontrak di sekolah dan hospital yang terdiri daripada pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan pekebun, dapat diserap sebagai pekerja tetap.

Sejak 2016, katanya JPKK menerima banyak aduan mengenai eksploitasi kontraktor terhadap pekerja kontrak di sekolah dan hospital, seperti tidak dibayar gaji beberapa bulan, lambat membayar gaji, membuat potongan gaji yang tidak wajar, dan tidak mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Masalah yang paling besar adalah pekerja hilang jaminan kerja akibat sistem kontrak ini, kerana setiap tiga tahun sekali kontraktor akan bertukar, pekerja turut hilang tempoh perkhidmatan mereka dan menjadi pekerja baru. Malah ada juga pekerja yang hilang kerja,” katanya selepas menyerahkan memorandum tersebut di Kementerian Kewangan di sini.

Memorandum tersebut diterima Ketua Seksyen Komunikasi Korporat, Kementerian Kewangan Julina Johan.

Selain memorandum, turut diserahkan ialah hasil kajian JPKK mengenai penjimatan sehingga RM200 juta melalui penyerapan pekerja kontrak sebagai pekerja tetap di premis kerajaan dan penghapusan sistem kontrak.

Arutchelvan berkata memorandum yang sama akan dihantar kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada tahun hadapan.  

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan