KUALA LUMPUR, 15 Jan -- Keadaan cuaca yang agak baik di Semenanjung membolehkan kawasan dilanda banjir terus beransur pulih dengan daerah Raub di Pahang pulih sepenuhnya pagi ini, namun situasi berbeza di Sarawak yang menyaksikan jumlah mangsa banjir meningkat tiga kali ganda berbanding semalam.
Banjir yang memasuki hari ketiga di enam daerah di Sarawak hari ini menyaksikan jumlah penduduk yang terpaksa dipindahkan meningkat kepada 4,222 orang yang ditempatkan di 49 pusat pemindahan sementara (PPS).
Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, sehingga pukul 8 pagi tadi, 2,159 mangsa berada di 19 PPS di daerah Kuching, 1,014 di 10 PPS di Serian, 706 mangsa masih berteduh di 11 PPS di Bau, 211 orang di lima PPS di Kota Samarahan, 103 orang di dua PPS Simunjan dan 29 orang di dua PPS Miri.
Sementara itu di PAHANG, Ketua Polis Daerah Raub Supt Kama Azural Mohamed berkata PPS yang ditutup semalam adalah Sekolah Kebangsaan Kundang Patah, Cheroh; Balai Raya Kampung Jeruas, Dong dan Masjid Bukit Pompong yang sebelum ini menempatkan 69 mangsa termasuk 23 pelajar sebuah pusat tahfiz.
Sementara itu, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir di Pahang pagi ini adalah seramai 7,992 orang dengan 102 PPS masih beroperasi di tujuh daerah.
Daerah Pekan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 3,317 orang diikuti Maran (1,903 orang), Kuantan (878 orang), Temerloh (792 orang), Bera (715 orang), Lipis (353 orang) dan Jerantut (34 orang).
Di JOHOR, cuaca yang baik membolehkan keadaan banjir di negeri ini semakin pulih dengan jumlah mangsa terjejas berkurangan kepada 784 orang melibatkan 245 keluarga setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 892 orang melibatkan 276 keluarga, petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan berkata kesemua mangsa berada di 10 PPS di lima daerah.
Kota Tinggi, katanya, masih mencatatkan jumlah mangsa terjejas tertinggi dengan 525 orang daripada 140 keluarga di lima PPS, diikuti Johor Bahru (116 orang, 71 keluarga di dua PPS), Kluang (50 orang, 11 keluarga di satu PPS), Segamat (76 orang, 20 keluarga di satu PPS) serta Batu Pahat (17 orang, tiga keluarga di satu PPS).
Di SABAH, jumlah mangsa banjir setakat pukul 8 pagi ini meningkat sedikit kepada 761 orang daripada 198 keluarga berbanding 712 orang daripada 173 keluarga, petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menerusi kenyataan berkata semua mangsa banjir itu ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara di lima daerah negeri ini iaitu Kota Marudu, Pitas, Beaufort, Lahad Datu dan Paitan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial