EKONOMI

KLIA laksana teknologi pengenalan wajah pada separuh pertama 2021

18/01/2021 04:05 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jan  -- Dokumen perjalanan fizikal seperti tiket penerbangan dan pas masuk mungkin tidak lama lagi akan menjadi suatu yang tidak diperlukan bagi penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pelaksanaan fasa pertama inisiatif Perjalanan Token Tunggal pada separuh pertama tahun ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata inisiatif itu menggunakan teknologi pengenalan wajah untuk memberikan pengesahan pengenalan biometrik satu token tunggal kepada penumpang.

Dalam kenyataan hari ini, katanya ini akan membolehkan penumpang melalui seluruh perjalanan lapangan terbang mereka tanpa perlu menunjukkan pas masuk mereka di semua pintu, daripada daftar masuk hingga pintu pelepasan.

“Proses pengesahan dijangka memakan masa kira-kira lima saat untuk setiap penumpang di setiap pintu, sekali gus mengurangkan perjalanan lapangan terbang mereka dengan ketara.

“Fasa pertama pelaksanaan teknologi itu dijangka selesai pada separuh pertama 2021, apabila 50 kios daftar masuk sendiri, 20 kaunter daftar masuk dan 56 eGate di pusat pemeriksaan keselamatan dan pintu pelepasan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA akan dilengkapi dengan teknologi pengenalan wajah,” katanya.

Beliau berkata Perjalanan Token Tunggal adalah komponen utama inisiatif Airport 4.0 organisasi - antara beberapa projek penting yang dikenal pasti akan diteruskan walaupun terdapat kekangan berikutan pandemik COVID-19.

“Selain daripada manfaat jelas daripada meningkatkan tahap perkhidmatan kami kepada penumpang dengan mengurangkan masa pemprosesan lapangan terbang, ini juga akan membolehkan penumpang kami melalui pengalaman tanpa sentuhan dan meningkatkan keselamatan mereka di lapangan terbang dalam parameter norma perjalanan baharu.

“Selain itu, ia juga akan mengurangkan kejadian penggunaan identiti palsu,” katanya.

Teknologi itu juga akan disepadukan dengan aplikasi MYairports dan penumpang dapat mendaftarkan pengesahan wajah mereka sebelum mereka tiba di lapangan terbang.

Integrasi dengan sistem imigresen juga akan membolehkan warga asing menggunakan Immigration Autogate dan tidak perlu beratur di kaunter.

Pada masa depan, teknologi itu akan diperluaskan untuk memasukkan aspek lain seperti pembelian runcit dan akses ke lounge syarikat penerbangan.

“Matlamat kami ialah menjadikan lapangan terbang sedia untuk masa depan terutamanya apabila perjalanan meningkat lagi.

“Kami menyediakan teknologi ini di lapangan terbang berikutan kami juga perlu mengembalikan keyakinan dalam kalangan penumpang perjalanan udara, dan kami berharap mendapat kerjasama daripada rakan penerbangan kami untuk menyepadukan proses mereka bagi menyesuaikan dengan teknologi ini,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan