AM

Kitar semula bungkusan belian secara dalam talian, jaga alam sekitar

27/01/2021 01:17 PM

SEREMBAN, 27 Jan -- Bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terjaga, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menyeru orang ramai meningkatkan amalan kitar semula dengan mengasingkan bungkusan plastik yang diterima melalui pembelian dalam talian.

Pengurus Besar Korporatnya Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan, pembelian dalam talian merupakan pilihan utama pengguna dan pastinya melibatkan banyak penggunaan bungkusan plastik.

“Oleh itu, dijangkakan lambakan sisa plastik pembungkusan akan terus meningkat dengan amalan norma baharu belian dalam talian.

“Sisa plastik yang dijana mengambil masa sekurang-kurangnya 400 tahun untuk terurai dan janaan sisa plastik yang terlalu banyak menjadikan tapak pelupusan padat serta memendekkan jangka hayat tapak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kadar peratusan sisa plastik yang direkodkan pada  2018 menunjukkan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding 2005 iaitu 44.5 peratus.

Mohd Norlisam berkata pengurusan sisa terutamanya sisa plastik secara berhemah sangat penting bagi memastikan sisa tersebut tidak membebankan tapak pelupusan dan membolehkan sumber tanah yang ada digunakan untuk pembangunan negara selain pembangunan tapak pelupusan baharu.

Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor supaya terus membudayakan amalan kitar semula dari rumah dan mendaftar sebagai ahli dalam program KITARecycle bagi membantu menjaga alam sekitar.

“Lebih daripada 20 barangan yang boleh dikitar semula dan menerima mata ganjaran termasuk kertas, plastik, tin minuman, logam, bateri, barangan elektronik seperti komputer riba, telefon pintar dan televisyen,” katanya.

Program KITARecycle merupakan program kitar semula berganjaran yang membolehkan setiap ahli KITARecycle yang berdaftar mengumpulkan mata ganjaran melalui amalan kitar semula dan menebus mata ganjaran yang terkumpul melalui pemindahan wang secara dalam talian, jelasnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan