AM

Pengecualian pembaharuan lesen memandu bermula 1 Feb hingga 31 Mac

29/01/2021 04:49 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan -- Kerajaan memberikan pengecualian kepada semua pemilik kenderaan persendirian berhubung pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Kompeten (CDL) berkuat kuasa 1 Feb hingga 31 Mac.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pemandu bagaimanapun perlu memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan kepada anggota penguat kuasa trafik sekiranya diminta.

“Pemegang LKM dan CDL yang telah atau bakal tamat tempoh hendaklah memperbaharui lesen masing-masing dalam masa 30 hari selepas tempoh pengecualian diberikan iaitu hingga 30 April 2021,” katanya dalam  kenyataan hari ini.

Wee berkata pengecualian itu dibuat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha mengurangkan kesesakan di tempat awam.

Bagaimanapun, pengecualian tidak diberikan kepada pemilik kenderaan perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional (GDL dan PSV) kerana perkhidmatan pembaharuan berkaitan mereka dibenarkan beroperasi sebagai perkhidmatan perlu  sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengecualian memperbaharui LKM dan CDL pernah dilaksanakan dari 25 Mac hingga 30 Sept tahun lepas semasa tempoh PKP 1.0.

Wee juga mengingatkan orang ramai agar menjadi pemandu berhemah dan mematuhi SOP yang ditetapkan MKN sepanjang tempoh PKP.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan