KUALA LUMPUR, 29 Jan -- Syarikat pemula niaga teknologi hartanah, MHub, menawarkan penyelesaian kepada pemaju untuk menangani cabaran susulan keputusan penting Mahkamah Persekutuan bahawa Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) akan dikira daripada tarikh pembayaran tempahan.
MHub, yang menyediakan ekosistem digital menerusi penyelesaian untuk mempercepat, memudahkan dan menjimatkan kos dalam transaksi hartanah, menjelaskan sejak penubuhannya pada 2017, ia telah membantu lebih 80 pemaju memendekkan tempoh pemprosesan transaksi mereka.
“Bolehkah anda memendekkan proses itu yang biasanya mengambil masa 10 bulan kepada satu bulan? jawapannya ya.
“Kami telah melaksanakannya dengan pelanggan kami yang menggunakan model menyeluruh. Oleh itu, amat penting untuk pemaju mendigitalkan transaksi mereka bagi membolehkan transaksi lebih cepat,” kata Ketua Pegawai Perniagaan MHub, Victor Chua dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata melalui sistem digital, MHub dapat mengautomasikan sesetengah langkah, sela masa yang panjang dapat ditangani dan akhirnya mempercepat proses transaksi.
Walaupun keputusan mahkamah itu menyukarkan pemaju buat sementara waktu, namun bagi jangka panjang ia membawa kepada hala tuju yang betul malah mungkin terbukti menjadi titik perubahan baik bagi pemaju yang berfikiran jauh dan cekap, katanya.
Pada 19 Jan, 2021 Mahkamah Persekutuan memutuskan LAD perlu dibayar pemaju perumahan apabila berlaku penyerahan lewat milikan kosong.
Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dalam keputusan sebulat suara, menetapkan jumlah LAD yang perlu dibayar oleh pemaju perumahan kepada pembeli dikira bermula dari tarikh pembayaran tempahan dan bukan dari tarikh perjanjian jual beli (SPA).
Chua berkata proses permohonan gadai janji, yang biasanya berlangsung dalam tempoh penting di antara pengesahan tempahan dengan pemeteraian SPA, adalah antara langkah yang sering mengambil masa yang terlalu lama.
“MHub mengatasi cabaran ini dengan mendigitalkan keseluruhan proses, membolehkan pembeli melakukan pemeriksaan kredit sebelum membuat tempahan, melangkaui tempoh yang panjang dalam proses transaksi.
“Proses permohonan gadai janji itu sendiri juga dipercepat dan dipermudah apabila dilakukan menerusi platform MHub,” katanya.
Beliau berkata menerusi penggunaan aplikasi MHub, semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam transaksi juga dapat menjejaki proses itu sekali gus memudahkan sekiranya berlaku sebarang perkara luar jangka.
MHub merupakan projek sulung TRB Ventures, syarikat teknologi yang berpangkalan di Malaysia.
Sehingga kini, MHub telah melaksanakan lebih 38,000 tempahan dengan nilai projek keseluruhan melebihi RM93 bilion.
MHub, yang kini tersedia bagi seluruh negara kecuali Perlis, Kelantan dan Terengganu, mempunyai lebih 10,000 pengguna berdaftar dan telah menjadi platform pilihan untuk 10 daripada 15 pemaju hartanah terkemuka di Malaysia.
Menurut MHub, pada masa ini ia menguasai 25 peratus bahagian pasaran hartanah utama di Malaysia dan diperakui sebagai peneraju pasaran yang jelas dalam bidangnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial