Oleh Syed Muhammad Zahid Makbul Wafa Syed Mohd Mumtaz Wafa
MELAKA, 26 Feb -- Projek konservasi rama-rama spesies Idea Lynceus perlu dipertahankan semua pihak kerana khazanah negara berkenaan kian terancam dengan kepupusan.
Pengarah Urusan Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka Gerard Wong berkata beliau ingin rakyat Malaysia melihat sendiri rama-rama berkenaan kembali berterbangan di habitat asalnya, malah mungkin di depan mata masyarakat suatu hari nanti.
“Rama-rama spesies Idea Lynceus adalah kebanggaan negara, saya menyeru semua orang untuk membantu menjayakan projek konservasi rama-rama ini,” kata pencinta flora dan fauna itu kepada Bernama baru-baru ini.
Idea Lynceus dari keluarga Danaidae bukan sahaja merupakan antara spesies rama-rama terbesar di Malaysia, malah merupakan rama-rama terbesar dalam kelasnya di seluruh dunia.
Idea lynceus diletakkan di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 kerana hampir pupus, dan Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka mengambil inisiatif untuk membuat kajian dan hanya pusat konservasi tersebut yang membiakkan rama-rama spesies itu di seluruh dunia.
Idea Lynceus yang juga boleh ditemukan di sebahagian Thailand dan Indonesia, sangat cantik pada keseluruhan sifatnya termasuklah dari telur, ulat beluncas berwarna hitam, merah dan putih, dan bertukar menjadi kepompong berwarna keemasan sehinggalah menjadi seekor rama-rama.
Cara penerbangan serangga bersayap putih dan berbintik hitam ini juga menakjubkan seakan-akan sekeping kertas tisu yang terapung-apung perlahan di udara.
Habitat asal Idea Lynceus adalh di dalam hutan dengan seekor rama-rama betina mampu menghasilkan 200 biji telur setiapkali mengawan namun hanya empat ekor sahaja yang mampu hidup, menjadikan ia antara serangga yang paling terancam.
Faktor pokok perumah, ulat beluncas dan kepompong yang lemah serta cara penerbangannya yang lambat menyebabkan rama-rama ini seringkali dijadikan sasaran pemangsa lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial