KUALA LUMPUR, 27 Feb -- Vaksin COVID-19 Sinovac dijadual tiba di negara ini hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada kira-kira 9 pagi.
Ahad lepas, Malaysia menerima vaksin COVID-19 yang pertama dari jenis Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos.
Fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula Februari hingga April melibatkan petugas barisan hadapan, diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi, iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan orang kurang upaya (OKU).
Fasa ketiga pula melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas, bermula dari Mei hingga Februari tahun depan.
Pada 13 Jan lepas, Pharmaniaga mengumumkan menandatangani perjanjian dengan Sinovac untuk membotol dan mengedarkan 14 juta dos vaksin COVID-19.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di Twitter pada 19 Feb lepas berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sedang dalam proses menilai data klinikal Sinovac.
Vaksin Sinovac telah melepasi ujian klinikal tahap ketiga di beberapa negara termasuk Brazil, Turki dan Indonesia.
Berikut adalah perkembangan terkini ketibaan vaksin itu:
10 pagi : Khairy mengakhiri sidang media.
9.45 pagi : Sebanyak 1.183 juta pendaftaran direkodkan di MySejahtera untuk ambil suntikan vaksin COVID-19 setakat 7 pagi tadi - Khairy
9.40 pagi : Sehingga pukul 7 pagi tadi, seramai 3,580 individu telah menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer - Khairy.
9.30 pagi : Pharmaniaga mampu sediakan dua juta dos vaksin Sinovac sebulan setelah proses pengilangan, pembotolan diluluskan - Khairy.
9.25 pagi : Khairy mengadakan sidang media mengenai ketibaan vaksin Sinovac.
9.20 pagi : Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing menyerahkan vaksin Sinovac kepada Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
9.10 pagi : Envirotainer yang mengandungi vaksin jenis Sinovac dibawa turun dari pesawat.
8.55 pagi : Pesawat membawa vaksin COVID-19 Sinovac selamat mendarat di KLIA.
8.24 pagi : Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing tiba di Kompleks i-secure Maskargo, KLIA.
8.19 pagi : Menteri Pengangkutan, Dr Wee Ka Siong tiba di Kompleks i-secure Maskargo, KLIA bagi menyambut ketibaan vaksin Sinovac yang diterbangkan dari Beijing, China.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial