AM

PM Muhyiddin bertolak ke Arab Saudi hari ini untuk lawatan rasmi

06/03/2021 01:22 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berlepas ke Arab Saudi untuk lawatan rasmi sulung beliau ke Asia Barat.

Muhyiddin, dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau berkata lawatan itu adalah bagi memenuhi jemputan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, yang juga penjaga dua masjid suci.

"Insya-Allah, saya akan menunaikan umrah di tanah suci Makkah dan melakukan ziarah di Madinah terlebih dahulu sebelum memulakan program rasmi di Istana Al-Yamamah di Riyadh, pada 9 Mac ini.

"Selain menghadap Raja Salman, saya dijadual mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud, yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan kerajaan Arab Saudi," katanya.

Beliau berkata lawatannya itu cukup signifikan kerana antara lain akan membincangkan pelbagai usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka kerjasama baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan dan hal ehwal Islam yang mampu melonjakkan hubungan baik sedia ada ke tahap yang lebih tinggi. 

Katanya perihal mengenai kuota haji dan urusan umrah juga tidak ketinggalan akan dibincangkan pada pertemuan itu kelak.

"Dari Arab Saudi, Insya-Allah saya akan terus ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk bertemu Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan