EKONOMI

OYO Hotel And Homes tawar penginapan kepada barisan hadapan di seluruh negara

12/03/2021 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac -- OYO Hotel and Homes menawarkan hotel OYO sebagai penginapan untuk barisan hadapan yang bertugas di pusat kuarantin COVID-19 di seluruh negara.

Naib Presiden dan Ketua OYO Malaysia dan Singapura Tan Ming Luk berkata lebih 70 peratus pemilik hartanah OYO menyatakan minat mereka untuk menjadi tuan rumah kepada barisan hadapan yang bertugas bagi menguruskan vaksin apabila program vaksinasi awam bermula.

“Bagi OYO, kami percaya untuk menyumbang kekuatan kami, iaitu penginapan yang selamat, bersih dan berpatutan dalam rangkaian lebih 20,000 hotel di 75 bandar di seluruh Malaysia.

“Program dan pengalaman Sanitised Stays sedia ada kami sebagai pusat pengasingan COVID-19 menjadikan kami lokasi yang baik sebagai penginapan untuk barisan hadapan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Tan berkata OYO mencadangkan pulau Langkawi untuk memulakan strategi sebagai langkah membuka semula sektor pelancongan dengan selamat dan secara berperingkat.

“Dengan laluan masuk yang terhad, kami boleh mengehadkan kemasukan kumpulan tetamu yang lebih kecil yang mempunyai bukti vaksinasi dan lulus ujian COVID-19 sebelum memasuki pulau itu.

“Selepas mendarat, pelancong akan terus pergi ke resort mereka dan kekal di sana sepanjang percutian mereka, aktiviti akan terhad kepada jadual perjalanan yang lebih mudah, iaitu lawatan hanya terbuka kepada tetamu yang mendaftar untuk menyewa bot untuk ‘snorkeling’, menyelam dan memancing.

“Selain pelancongan gaya resort, kami juga mahu hotel lain di Langkawi, daripada bajet hingga mewah, dan semua perniagaan lain mendapat manfaat daripada program ini, selain melindungi penduduk Langkawi dengan vaksinasi juga penting,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan