EKONOMI

Lebih sepertiga syarikat Jepun di Malaysia minat kembangkan perniagaan - JETRO

12/03/2021 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac -- Lebih satu pertiga atau 36.1 peratus syarikat Jepun di Malaysia yang juga responden kaji selidik Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO), berhasrat mengembangkan perniagaan di negara ini dalam tempoh setahun hingga dua tahun lagi, khususnya dalam industri makanan, peranti perubatan serta pengangkutan.

Menurut JETRO, kaji selidik yang merangkumi firma Jepun di 20 negara/rantau itu mendapati peratusan tersebut adalah kadar penurunan paling rendah (-6.7 peratus) dalam kelompok enam negara ASEAN yang ditinjau termasuk Vietnam, Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina selain Malaysia, berbanding tinjauan pada 2019.

Penyusutan minat syarikat Jepun bagi tujuan pengembangan niaga itu adalah tertinggi di Filipina (-17.7 peratus) dan Vietnam (-17.1 peratus).

“Minat syarikat-syarikat itu (di Malaysia) khususnya membabitkan pengembangan bagi pengeluaran produk dengan nilai tambah tinggi iaitu pada 44.4 peratus -- tertinggi dalam enam negara ASEAN tersebut.

“Bidang makanan serta peranti perubatan/tepat dalam sektor pengeluaran dan pengangkutan dalam sektor bukan pengeluaran pula melebihi 60 peratus dengan banyak syarikat yang mempunyai minat tinggi untuk mengembangkan usaha mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kaji Selidik bertajuk ‘Keadaan Syarikat Jepun Beroperasi di Luar Negara (Asia dan Oceania)’ itu dijalankan pada 24 Ogos-25 September, 2020.

JETRO telah mendapat respons yang disahkan melibatkan sejumlah 5,976 syarikat daripada 14,399 syarikat yang dihubungi bagi tujuan kaji selidik tersebut.

Di Malaysia, usaha itu membabitkan 946 syarikat Jepun dengan respons diterima daripada 257 syarikat.

Menurut pertubuhan itu, sektor elektrikal dan elektronik (E&E) yang juga industri perdana di Malaysia, mencatatkan minat pengembangan sebanyak 38.3 peratus -- tertinggi daripada purata keseluruhan untuk Malaysia.

Minat pengembangan industri itu juga ketara di Vietnam dan Filipina.

Merujuk tahap normalisasi atau keadaan perniagaan kembali kepada biasa bagi tempoh pasca-COVID-19, Malaysia mencatatkan peratusan syarikat tertinggi iaitu 11.2 peratus yang mengakui ‘perniagaan telah kembali kepada biasa’ ketika tempoh kaji selidik tersebut.

Bagi kadar pemerolehan, kaji selidik itu menunjukkan dalam rantau ASEAN, aspek tersebut agak tinggi di Singapura dan Malaysia.

Di Indonesia, Singapura, Thailand dan Malaysia menyaksikan hampir 50 peratus daripada usaha pemerolehan itu membabitkan sumber daripada syarikat-syarikat tempatan.

Dalam kalangan enam negara-negara ASEAN, Filipina, Vietnam, Singapura dan Malaysia dianggap sebagai ‘berorientasikan eksport’ manakala Indonesia dan Thailand lebih kepada ‘permintaan yang dipacu secara domestik.’

Secara khusus, lebih 20 peratus syarikat-syarikat di Filipina dan Vietnam mengeksport sepenuhnya produk masing-masing.

Berdasarkan hasil kaji selidik itu, majoriti syarikat-syarikat Jepun di ASEAN turut menjangkakan perniagaan mereka akan kembali kepada biasa dalam separuh kedua 2021 pada tempoh pasca-COVID-19.

“Kira-kira separuh daripada syarikat di setiap negara terbabit telah bertindak meneliti semula strategi perniagaan dan rantaian bekalan masing-masing selain memperkenal lebih banyak teknologi digital akibat COVID-19.

“Malah, susulan COVID-19, kira-kira separuh daripada syarikat-syarikat di semua enam negara ASEAN itu berhasrat memperkenalkan teknologi digital,” kata JETRO.

Dalam pada itu, peratusan syarikat-syarikat yang berdepan isu sumber manusia dan faktor kos juga agak tinggi di setiap negara tersebut, kata JETRO.

Malaysia misalnya berdepan pelbagai cabaran seperti kos pengenalan/awal yang tinggi, kekurangan bakat atau tenaga mahir dalam teknologi digital serta kekurangan pemahaman dalam kalangan pekerja.

Selain itu, syarikat-syarikat di Singapura dan Vietnam mengakui bahawa COVID-19 itu tidak menjadikan aliran modal mereka bertambah buruk atau terjejas.

Sebaliknya, sebagai perbandingan, kira-kira 30 peratus syarikat-syarikat di Indonesia dan Malaysia telah terjejas akibat kelewatan bayaran daripada rakan kongsi masing-masing yang disifatkan sebagai agak tinggi, kata JETRO.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan