AM

PM Muhyiddin selesai terima dos kedua suntikan vaksin COVID-19

17/03/2021 05:19 PM

PUTRAJAYA, 17 Mac -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin selesai menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19  Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Putrajaya di Presint 18, di sini hari ini.

Suntikan dos kedua itu dilakukan selepas 21 hari beliau menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan pada 24 Feb lepas. 

Muhyiddin tiba di klinik itu kira-kira 3 petang dan membuat imbasan kod MySejahtera sebelum dibawa ke bilik vaksinasi untuk pendaftaran dan menerima suntikan vaksin berkenaan. 

Turut menerima suntikan ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. 

Selepas menerima suntikan, Muhyiddin mengemas kini aplikasi MySejahtera untuk menunjukkan beliau telah melengkapi dos pengambilan vaksin COVID-19.

Beliau kemudian dibawa ke bilik pemantauan untuk menunggu kira-kira 15 hingga 30 minit bagi dipantau sekiranya berlaku reaksi susulan seperti alahan atau simptom lain.

Selain Muhyiddin dan Dr Noor Hisham, turut menerima suntikan dos kedua hari ini adalah empat petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Mereka ialah Dr Tan Yee Ling, Sheilla Mellissa Sikin, Khairul Asraf Mohd Yasin dan Clement a/l Marai Francis yang sebelum ini juga menjadi antara penerima terawal vaksin semasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilancarkan pada 24 Feb lepas. 

Dr Tan, 30, Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya manakala Sheilla Mellissa, 31, jururawat di klinik kesihatan tersebut.

Khairul Asraf, 44, bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Pejabat Kesihatan Putrajaya dan Clement, 36, pemandu di pejabat sama.

Kesemua proses vaksinasi itu dilakukan oleh Ketua Jururawat Kesihatan di PKD Putrajaya Lina Ibrahim dan jururawat di Klinik Kesihatan Presint 9, Mazirah Mokhtar, kedua-duanya pemvaksin yang sama semasa Muhyiddin menerima dos pertama pada 24 Feb. 

Sehingga semalam seramai 346, 508 terdiri daripada petugas barisan hadapan telah menerima dos pertama vaksin. 

Perdana Menteri dan Dr Noor Hisham sebelum ini menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin  Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan