EKONOMI

FGV akan perkenal ciri-ciri baharu e-Dompet bagi pekerja ladang migran

19/03/2021 02:15 AM

KUALA LUMPUR, 18 Mac  -- FGV Holdings Bhd (FGV) akan memperkenalkan ciri-ciri baharu bagi aplikasi e-dompetnya bermula bulan depan kepada pekerja ladang migran, iaitu  e-rungutan, e-kehadiran, butang kecemasan dan e-pembelajaran. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Haris Fadzilah Hassan dalam satu kenyataan hari ini berkata menerusi e-rungutan, pekerja ladang migran FGV mempunyai pilihan untuk membuat aduan pada bila-bila masa manakala melalui e-kehadiran mereka akan dapat mengakses maklumat berkaitan kehadiran serta butiran tugasan harian.

Sementara itu, ciri butang kecemasan bertujuan meningkatkan keselamatan dan membolehkan pengurusan ladang bertindak segera menangani kes kecemasan atau kemalangan di tempat kerja. 

Ciri e-pembelajaran pula memudahkan pekerja ladang migran mendapat maklumat terkini tentang caruman PERKESO, manfaat kesihatan dan perubatan, kontrak pekerjaan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kadar upah kerja dan lain-lain maklumat berkaitan.

 “Pengurusan ladang secara digital merupakan salah satu usaha FGV untuk menghormati hak-hak pekerja ladang migrannya,” kata Haris Fadzilah.

Beliau juga berkata kumpulan itu telah melaksanakan pembayaran gaji tanpa tunai untuk 95 peratus operasi perladangannya di Semenanjung Malaysia, melibatkan 17,682 pekerja ladang migran. Baki lima peratus melibatkan 861 pekerja ladang migran akan selesai dilaksanakan pada penghujung bulan ini. 

“Sementara itu, 264 pendaftaran e-dompet di Sarawak akan dilaksanakan menerusi pembayaran gaji bulan ini. Bagi Sabah, 10,925 pendaftaran akan dilaksanakan serentak pada awal April 2021.

“Ia meliputi pekerja ladang migran FGV Plantations (M) Sdn Bhd, FGV Agri Services Sdn Bhd, Pontian United Plantation Berhad dan Yapidmas Plantation Sdn Bhd,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan