AM

Malaysia mula terima vaksin COVID-19 CanSino bulan ini

01/04/2021 03:22 PM

PUTRAJAYA, 1 April  -- Malaysia akan menerima bekalan 3.5 juta dos vaksin COVID-19 jenis CanSino dari China secara berperingkat, bermula bulan ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata perolehan vaksin itu dibuat dalam dua kategori iaitu produk siap sebanyak 500,000 dos dan selebihnya penghantaran secara pukal untuk diisi dan dibungkuskan oleh syarikat tempatan Solutions Biologics Sdn Bhd (SolBio).

Melalui perolehan vaksin CanSino yang merupakan dos tunggal, sejumlah 3.5 juta populasi di negara ini akan mendapat manfaat, katanya. 

Dr Adham berkata vaksin CanSino akan digunakan terutamanya di kawasan pedalaman dan kawasan di mana penerima sukar untuk datang menerima suntikan sebanyak dua kali seperti vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

“Vaksin dos tunggal ini juga boleh digunakan bagi tujuan vaksinasi warga asing yang berada di Malaysia,” katanya kepada media selepas majlis memeterai perjanjian antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan SolBio untuk mengilang vaksin atau secara fill and finish, di sini hari ini.

Melalui perjanjian itu, SolBio akan mengendalikan proses pembotolan vaksin sebanyak tiga juta untuk dibekalkan kepada kerajaan.

Namun, kata Dr Adham syarikat tersebut masih perlu mematuhi semua peraturan berkaitan pendaftaran dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh melaksanakan pembekalan vaksin.

“Sekiranya syarikat gagal mendapatkan kelulusan pendaftaran yang diwajibkan, perjanjian tersebut boleh dibatalkan kerana kerajaan menitikberatkan keberkesanan, keselamatan dan kualiti,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan