AM

Pemimpin mahasiswa galas cabaran baharu sebagai pemimpin

08/04/2021 07:44 PM

ARAU, 8 April  -- Tugas pemimpin mahasiswa hari ini lebih besar berbanding sebelum ini kerana mereka menggalas tugas yang lebih berat, iaitu sebagai rakan pembimbing kepada generasi pertama golongan 18 tahun yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum, (PRU) akan datang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tanggungjawab pemimpin mahasiswa bukan hanya menyedarkan hak dan peranan mereka sebagai pemilih pada PRU, tetapi turut membimbing mereka yang lebih dewasa.

“Dalam konteks yang lebih luas, pemimpin mahasiswa juga adalah rakan pimpinan kepada kerajaan.

“Saudara (pemimpin mahasiswa) ada tanggungjawab baharu, itu keistimewaan yang ada pada anda semua sebagai pemimpin hari ini,” katanya ketika berucap pada sesi dialog awam bersama pimpinan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UNIMAP Profesor Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Beliau berkata sebagai pemimpin orang muda, mereka (pemimpin mahasiswa) perlu memahami kemahuan generasi hari ini.

“Antaranya ialah orang muda mahu suaranya didengar, cadangannya diiktiraf, serta mahu semua isu-isu berkaitan orang muda, diselesaikan dengan cara yang bersesuaian dengan mereka,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan