SUKAN

GP Malaysia: Grace Wong pecah rekod kebangsaan tukul besi

11/04/2021 01:23 AM

KUALA LUMPUR, 10 April  -- Atlet lontar tukul besi wanita negara, Grace Wong Xiu Mei memecah rekod kebangsaan apabila mencatat lontaran 62.48 meter pada Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini hari ini.

Grace memadam rekod miliknya sendiri dengan lontaran 60.99m pada 2017 yang dilakukan di Mokpo, Korea Selatan.

Atlet kelahiran Sarikei, Sarawak itu menewaskan Nurul Hidayah Lukman dari Selangor di tempat kedua (49.98m) dan Eng May Xin Winnie dari Kuala Lumpur yang mendapat tempat ketiga (17.95m).

Atlet berusia 20 tahun  itu tidak menyangka memecahkan rekod kebangsaan pada hari ini selepas lebih setahun tidak beraksi pada mana-mana saingan kompetitif.

Kali terakhir Grace beraksi pada saingan kompetitif adalah Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina tetapi beliau gagal mempertahankan emas pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, apabila hanya sekadar berpuas hati meraih pingat perak. 

“Saya berazam untuk merampas kembali pingat emas pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam, hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada edisi 2019, pingat emas dimenangi Mingkamon Koomphon dari Thailand manakala rakan senegaranya, Panwat Gimsrang meraih gangsa.

Sementara itu, Jackie Wong dari Sarawak pula mengungguli acara lelaki apabila mencatat lontaran 66.47m diikuti Sadat Marzuqi Arjisan dari Negeri Sembilan (59.94) dan atlet Johor, Farm Loong Deng di tempat ketiga (19.53m).

Atlet lompat tinggi kebangsaan, Lee Hup Wei yang mewakili Selangor pula kecundang apabila mendapat tempat kedua dengan lompatan 2.05m. Mohamad Eizlan Dahalan dari Sabah mencipta kejutan dengan meraih tempat pertama (2.05m) diikuti atlet Johor, Norshafiee Mohd Shah di tempat ketiga (1.96m).

Pingat emas menjadi milik Mohamad Eizlan selepas Hup Wei menarik diri daripada meneruskan lompatan pada ketinggian 2.07m sementara atlet Sabah itu yang meneruskan cabaran gagal melepasi ketinggian itu.

Jaguh paralimpik negara, Abdul Latif Romly dari Perlis menepati ramalan apabila memenangi acara lompat jauh dengan catatan 7.40m, manakala tempat kedua diraih Luqman Hakim Mohd Ramlan dari Kuala Lumpur (7.32m) dan Zulkilfe Abdullah mendapat tempat ketiga (6.63m).

Acara lompat kijang wanita pula dimenangi Kirthana Ramasamy dari Perak (13.21m) diikuti Nurul Ashikin Abbas juga dari Perak (13.00m) dan atlet Johor, Nur Fatin Najiha Mohd Aziz meraih tempat ketiga (11.55m).

Iskandar Alwi pula memenangi acara lompat bergalah lelaki dengan catatan 4.85m, Muhammad Naufal Sharul Azam di tempat kedua (4.45m) dan Aiman Suffian Bahrizal di tempat ketiga (3.55m) dengan kesemuanya mewakili Johor.

Acara balapan menyaksikan Wan Muhammad Fazri dari Kelantan memenangi acara 800m menewaskan wakil Selangor, Avinasher Austin di tempat kedua dan Anas Ariffin dari Kelantan di tempat ketiga.

Atlet Selangor Savinder Kaur Joginder Singh memenangi tempat pertama acara 800m wanita diikuti J Padhmaloshini dari Johor dan V Shankari dari Selangor di tempat ketiga.

Kejohanan GP Malaysia akan bersambung dan berakhir esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan