KLANG, 18 April -- Seramai 36,000 warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) akan menerima vaksin pada fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula semalam.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata seramai 25,000 penerima terdiri daripada warga emas manakala selebihnya adalah golongan OKU.
"Kita juga akan sentiasa mempergiatkan usaha untuk mendaftar vaksin untuk golongan sasar ini (warga emas dan OKU) menerusi beberapa program kerana ada antara mereka yang kurang pengetahuan untuk mendaftar," katanya yang juga Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) Malaysia ketika ditemui di Program Dapur Rakyat Prihatin Bersama Wanita PN Selangor, di sini hari ini.
Rina berkata walaupun pihak kementerian giat menjalankan pendaftaran golongan sasar bawah kendaliannya bagi penerimaan vaksin, namun mereka perlu mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera terlebih dahulu.
Katanya dalam masa sama pihaknya akan mengambil data individu yang bersetuju untuk didaftarkan sebagai penerima vaksin dan seterusnya akan diserahkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Terdahulu Rina turut menyerahkan bantuan bakul makanan terdiri bantuan barangan keperluan harian kepada 1,000 penduduk golongan B40 khususnya yang terjejas dengan pandemik COVID-19 di sekitar Parlimen Kapar.
Rina dalam ucapan perasmian majlis berkenaan berkata PN akan berterusan melaksanakan aktiviti seumpama ini bagi menjaga kebajikan rakyat khususnya dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19 dan melaksanakan agenda menjaga kepentingan rakyat.
"Terima kasih Wanita PN Selangor yang menjadi tunjang kejayaan program ini. Moga program sebegini dapat dipanjang dan dijayakan ke daerah lain, Insya-Allah," katanya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari dan ADUN Sementa Dr Daroyah Alwi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial