JENAYAH & MAHKAMAH

Instafamous dikompaun RM1,500 kerana tidak pakai pelitup muka

04/05/2021 08:19 PM

PUTRAJAYA, 4 Mei -- Seorang instafamous dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka dalam video adegan raya melibatkan anggota polis berpakaian uniform yang dimuat naik di laman sosial miliknya, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali dalam kenyataan berkata kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara itu dikeluarkan selepas lelaki terbabit hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini, semalam.

Mengulas mengenai video tersebut, beliau berkata pihaknya mengesan ia dimuat naik individu terbabit pada 9.15 malam, Ahad lepas dan semakan mendapati lokasi adegan raya itu dilakonkan di Bukit Rimau, Presint 3, di sini.

“Video tersebut turut melibatkan kenderaan polis jenis Proton Preve serta kenderaan persendirian jenis Honda City milik lelaki tempatan dan anggota yang terlibat dalam adegan lakonan tersebut berpakaian penuh uniform,” katanya dalam kenyataan itu.

Mohd Fadzil berkata dalam video berkenaan, individu terbabit tidak memakai pelitup muka selain dilihat mempersendakan alasan-alasan yang diberikan bagi tujuan rentas negeri.

Menurut beliau, dua anggota polis dan seorang anggota tentera yang terlibat dalam video tersebut sedang bertugas dalam pasukan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan IPD Putrajaya.

“Saya tidak pernah membenarkan video tersebut dirakam atau dikeluarkan dan tiada sebarang bayaran atau sagu hati diterima oleh pihak polis dalam hal ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan