JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar maut, rakan parah dalam kemalangan dengan lori

15/05/2021 10:39 PM

IPOH, 15 Mei -- Seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) maut manakala rakannya cedera parah apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebuah lori membawa muatan ayam di KM 179 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Alor Pongsu, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mazuki Mat berkata Muhammad Aiman Mazman, 26, yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang tiba di lokasi kejadian manakala rakannya, Muhamad Faris Shohaimi, 23, turut cedera parah di kepala.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku pada kira-kira 4.05 petang ketika kedua-dua mereka sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Petani, Kedah menghala ke Kuala Lumpur.

“Apabila sampai di tempat kejadian, Muhammad Aiman dipercayai hilang kawalan terhadap kereta jenis Audi dipandunya lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya di sebelah kanan sebelum berpusing dan seterusnya terbabas ke lorong kiri.

“Kereta terbabit kemudian melanggar sebuah lori membawa muatan ayam di bahagian belakang sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazuki berkata pemandu lori, Eng Yak Joo, 55, hanya cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Parit Buntar.

Beliau berkata mayat Muhammad Aiman turut dihantar di hospital sama untuk bedah siasat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan