AM

Rujuk pesakit bukan COVID ke hospital swasta - APHM

17/05/2021 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei -- Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) berharap doktor di hospital kerajaan tidak lagi berlengah dalam merujuk pesakit bukan COVID-19 mereka ke hospital swasta bagi menjalani pembedahan dan prosedur elektif yang kini begitu banyak ditangguhkan di hospital kerajaan disebabkan pandemik itu.

Presidennya Datuk Dr Kuljit Singh berkata langkah itu selaras dengan pekeliling Kementerian Kesihatan (KKM) yang membenarkan hospital kerajaan membuat penyumberan luar bagi merawat pesakit bukan COVID-19 dalam usaha membuka lebih banyak ruang rawatan untuk pesakit COVID-19 di hospital kerajaan.

Dr Kuljit berkata APHM berterima kasih atas usaha yang dibuat oleh pejabat Ketua Setiausaha KKM dalam menggubal garis panduan dan penganggaran untuk program ini.

“Bagaimanapun usaha ini tidak mendapat sambutan yang memuaskan kerana hanya sebilangan kecil kes dirujuk dalam membantu pesakit di hospital kerajaan yang telah menunggu selama berbulan-bulan untuk dirawat di hospital swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya pada masa ini semua hospital swasta di negara ini mempunyai kapasiti untuk membantu kerajaan menguruskan pesakit bukan COVID-19 dengan berkesan, dan ini akan membolehkan hospital kerajaan menumpukan kepada rawatan terhadap pesakit COVID-19 bagi menampung peningkatan jumlah pesakit semasa.

“Berdasarkan pekeliling itu, rawatan pesakit bukan COVID-19 di hospital swasta akan dibiayai oleh kerajaan namun pesakit hanya boleh dirujuk ke hospital swasta oleh doktor di hospital kerajaan yang merawat mereka,” katanya.

Sementara itu, Dr Kuljit juga berkata pada masa ini, di Lembah Klang sahaja terdapat 31 hospital swasta yang menguruskan pesakit COVID-19 di wad biasa dan juga unit rawatan rapi.

Bagaimanapun katanya wujud kekangan untuk meningkatkan kapasiti bagi menerima lebih banyak pesakit COVID-19 berikutan isu tenaga kerja, tidak seperti hospital kerajaan yang mempunyai doktor residen, pegawai perubatan dan lebih ramai pakar. 

Sebelum ini dilaporkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai berkata pembedahan dan prosedur elektif di hospital kerajaan akan dikurangkan atau ditangguhkan bagi menyediakan lebih banyak katil kepada pesakit COVID-19.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan