KUALA LUMPUR, 24 Mei -- Di sebalik kritikan sesetengah pihak terhadap keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan sekatan penuh pergerakan (total lockdown), ia menjadi rahmat buat kumpulan rakyat yang amat berharap terus dibenarkan bekerja dan berniaga demi kelangsungan hidup.
Ini termasuk kumpulan pekerja gaji harian dan golongan peniaga kecil di negara ini yang amat bergantung hidup kepada pekerjaan dan operasi perniagaan harian demi menyara kehidupan.
Bahkan kebenaran untuk sektor ekonomi bergerak dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sedang berjalan dengan perubahan waktu operasi dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam berkuat kuasa esok juga disambut dengan kesyukuran meskipun dalam masa sama bimbang terhadap bilangan kes harian COVID-19 yang meningkat setiap hari.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik berkata pertimbangan antara hidup dan kehidupan perlu diambil kira dalam memutuskan pelaksanaan PKP bagi memastikan rakyat tidak terkesan teruk dengan langkah-langkah diambil kerajaan.
Muhyiddin berkata disebabkan itu, kerajaan memutuskan untuk tidak melaksanakan perintah kawalan pergerakan sepenuhnya ketika ini seperti PKP 1.0 kerana ia akan menjejaskan kehidupan rakyat dan menyebabkan lebih ramai hilang pekerjaan selain ketidakupayaan untuk bangkit bagi memulihkan kehidupan dan ekonomi.
Membicarakan soal itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) Mohamed Zamri Mohammed berkata meskipun operasi perniagaan tidak 'sempurna' seperti sebelum ini, namun keputusan itu membawa ‘sinar’ kepada peniaga kecil dalam mengharungi situasi mencabar.
“Kami ucap terima kasih kepada kerajaan atas kebenaran meneruskan sektor perniagaan semasa tempoh PKP 3.0 dan kerajaan sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak peniaga kecil sebelum sebarang pelaksanaan PKP.
“Walaupun (operasi perniagaan) tidak sempurna seperti sediakala, namun para peniaga ini masih lagi mampu mencari rezeki,” katanya pada program Malaysia Petang Ini (MPI) siaran Bernama TV di sini hari ini.
Sementara itu, tinjauan Bernama ke atas aktiviti perniagaan di beberapa negeri mendapati ia berjalan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan malah beberapa pekerja harian serta peniaga kecil yang ditemukan turut menzahirkan rasa syukur di atas keputusan dibuat kerajaan.
Di TERENGGANU, ibu tunggal Rabiatul Adawiyah Zakaria, 36, yang bekerja sebagai pekerja harian di sebuah kedai makan di Kuala Ibai dan memperoleh pendapatan RM45 sehari mengakui amat risau pada mulanya dengan khabar angin kononnya kerajaan akan melaksanakan 'total lockdown’, namun bersyukur ia tidak dilaksanakan.
"Saya risau jika semua sektor ekonomi termasuk kedai makan tidak boleh beroperasi bagaimana saya hendak menyara anak saya Muhammad Faris Farhan Farid yang berusia empat tahun. Jadi, apabila sektor ekonomi termasuk kedai makan boleh beroperasi, ia membawa makna yang sangat besar kepada orang bergaji harian seperti saya,” katanya.
Di KEDAH, Mohd Hafiz Salim, 38, yang menjalankan perniagaan kecil menjual pelbagai jenis kerepek pisang di Pendang berkata peluang menjalankan perniagaan itu harus dimanfaatkan oleh peniaga kecil dengan tidak mengabaikan SOP ditetapkan kerajaan.
“Kebanyakan peniaga kecil ini akan ikut semua SOP ditetapkan selagi mana kami boleh terus menjalankan perniagaan kerana rata-rata yang berniaga ini tidak ada sumber pendapatan lain. Tidak banyak, sikit pun jadilah sekurang-kurangnya ada wang untuk berbelanja," katanya.
Di JOHOR, peniaga roti canai Rohzaini Khamis, 36, dan isteri Ning Sih Suraji, 39, di Johor Bahru berharap agar langkah diambil kerajaan itu dapat mengurangkan kebolehjangkitan COVID-19 sekali gus mengembalikan situasi ekonomi seperti sebelumnya.
“Syukur sebab tidak jadi lockdown tapi berharap agar keadaan pulih kembali. Sekarang ini, kalau dapat buka pun, tidak ramai beli sebab tidak ramai yang keluar. Harap apabila keadaan kembali pulih, kami akan dapat buka meja untuk tambah pendapatan,” kata bapa kepada empat orang anak itu.
Pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara berkuat kuasa 12 Mei hingga 7 Jun adalah sebagai usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial