AM

Hati saya dah tak sedap, bimbang keselamatan dia - Ibu mangsa insiden LRT

25/05/2021 01:44 AM

KUALA LUMPUR, 25 Mei  -- "Saat Raiyan bagi tahu tren yang dia naik alami kemalangan, hati saya dah tak sedap, bimbang keselamatan dia," luah Mazuin Bahari, 51, ibu kepada salah seorang penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) yang cedera dalam insiden pertembungan dua tren LRT di sini malam tadi.

Beliau berkata sejurus selepas insiden, anaknya Tengku Ahmad Raiyan Tengku Naha, 27, yang ketika itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Cheras, terus menghubungi beliau bagi memaklumkan berita mengenai kejadian.

"Waktu dia (Raiyan) telefon itu, dia beritahu kaki kanannya tidak boleh digerakkan selain turut berasa sakit pada bahu akibat hentakan kuat.

"Saat itu saya bersama suami terus bergegas ke lokasi kejadian, namun diberitahu semua mangsa telah dibawa ke hospital," katanya yang sama sekali tidak menyangka kejadian itu berlaku di negara ini, kerana baginya berita kemalangan seumpama itu biasa didengarnya berlaku di luar negara sahaja.

Seorang lagi ibu mangsa, Syafiza Abd Hashib, 45, berkata beliau mendapat tahu mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan daripada anaknya Adzleen Syzarenna, 24, melalui satu nombor telefon yang tidak dikenali.

Syafiza berkata anaknya yang bekerja di sebuah bank di Ampang sering menggunakan pengangkutan awam itu untuk berulang-alik ke rumah sewanya di Subang. 

"Anak telefon dan beritahu terlibat dalam kemalangan tren, dan kejadian itu baharu seminit berlaku, dan dia bagi tahu cedera di bahagian pergelangan kaki dan tak boleh bangun.

"Saya terkejut dan terus ke lokasi kejadian, sempat berjumpa dengan dia yang masih berada dalam keadaan terkejut," katanya. 

Sementara itu tinjauan Bernama mendapati beberapa ahli keluarga menunggu di perkarangan unit kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) penuh sabar bagi mendapatkan sebanyak mungkin maklumat berhubung mangsa yang sedang menerima rawatan.

Awalnya lebih 10 ambulans dilihat tiba di unit kecemasan hospital, membawa mangsa yang cedera dalam kemalangan itu, dengan kebanyakan mereka yang kelihatan lemah, dibantu oleh kakitangan perubatan untuk dibawa masuk bagi mendapatkan rawatan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan