EKONOMI

Aktiviti subsektor perabot, pembekalan produk kayu-kayan dibenarkan untuk kemudahan hospital - Khairuddin

01/06/2021 12:13 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jun  -- Aktiviti subsektor perabot, pembekalan produk kayu-kayan adalah dibenarkan untuk kemudahan di hospital, Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC) dan lain-lain berkaitan COVID-19. 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata bagaimanapun, kementerian mengingatkan bahawa aktiviti subsektor kayu-kayan dan kenaf adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh penutupan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 1 hingga 14 Jun ini.

“Sehubungan itu, untuk kemudahan sementara, semua syarikat, estet dan pekebun kecil agrikomoditi bagi subsektor yang diluluskan, dibenarkan menggunakan surat kelulusan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan agensi secara bersekali untuk beroperasi sebelum pendaftaran Sistem Pengurusan Pintar COVID-19 (CIMS) 3.0 Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diluluskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Mohd Khairuddin berkata semua pemain industri terutamanya majikan dan pekerja hendaklah memastikan prosedur operasi standard  (SOP) baharu yang telah ditetapkan dipatuhi.

Beliau berkata pemantauan majikan terhadap pematuhan pekerja hendaklah dilaksanakan lebih kerap antaranya menggunakan aplikasi MySejahtera, suhu badan tidak melebihi 37.5 darjah Celcius dan tidak bergejala.

“Sekiranya gagal, pemilik premis akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Menurutnya, majikan sektor agrikomoditi perlu merujuk kepada SOP Sektor Agrikomoditi terkini yang dikemas kini oleh KPPK.

“KPPK berharap pematuhan SOP yang lebih ketat dan tegas oleh semua akan dapat menurunkan jumlah kes COVID-19 sekali gus mampu meredakan kebimbangan rakyat dan memulihkan ekonomi negara dengan segera,” katanya. 

Sebarang pertanyaan mengenai SOP berkenaan boleh dikemukakan kepada KPPK di talian hotline 03-8880 3498 pada Isnin hingga Jumaat (8 pagi hingga 5 petang) atau menerusi e-mel: hotlinempic@mpic.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan