EKONOMI

MBAM minta kerajaan tidak laksana sebarang dasar baharu ketika ini

01/06/2021 07:52 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jun-- Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) meminta kerajaan supaya menangguhkan sebarang dasar baharu yang akan mengakibatkan kenaikan kos menjalankan perniagaan dalam waktu yang mencabar ketika ini.

MBAM juga menggesa kerajaan untuk memberikan pengecualian pembayaran levi terhadap pekerja asing yang memperbaharui permit kerja dan melanjutkan kelulusan permit kepada mereka yang terkandas di negara asal dan tidak dapat memasuki Malaysia ketika sekatan perjalanan penuh serta mereka yang tinggal lebih masa kerana pelaksanaan sekatan perjalanan.

"Diharapkan Jabatan Imigresen dapat mempertimbangkan pengecualian yuran untuk pas khas untuk mereka yang tinggal lebih masa dalam tempoh Sekatan Perjalanan Penuh,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

MBAM berkata pakej bantuan PEMERKASA Plus akan membantu rakyat dan perniagaan dalam menghadapi keadaan sukar akibat pandemik COVID-19 dan sekatan perjalanan penuh di seluruh negara yang bermula hari ini.

Ia juga menyambut baik lanjutan Akta Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit COVID-19 atau Akta 829 kepada 31 Disember, 2021.

Pakej ini juga merangkumi pelaksanaan projek kecil dengan peruntukan lebih daripada RM2 bilion untuk kontraktor kelas G1 hingga G4 untuk pembaikan infrastruktur dan kemudahan awam.

"Ini adalah berita baik bagi industri pembinaan dan kami menantikan penambahbaikan Akta 829," kata MBAM yang mewakili kira-kira 17,000 ahli dalam industri pembinaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan