DUNIA

China bantu anggota ISDB bina makmal kesihatan awam

15/06/2021 04:12 PM

JEDDAH, 15 Jun -- Satu perjanjian untuk membina makmal kesihatan awam antiwabak bagi anggota Bank Pembangunan Islam (IsDB) telah dimeterai antara Kementerian Luar China dan bank tersebut di sini, pada Isnin.

Duta Besar China ke Arab Saudi, Chen Weiqing semasa berucap pada majlis itu menyifatkan perpaduan dan kerjasama sebagai senjata paling hebat untuk melawan wabak.

Pada masa sama, beliau yang juga merangkap wakil China ke Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) itu turut menyuarakan  keyakinan terhadap kemenangan dalam peperangan melawan pandemik COVID-19 dengan wujudnya usaha bersepadu antara China, negara-negara Islam dan masyarakat antarabangsa.

Sementara itu, Naib Presiden IsDB, Mansur Muhtar menzahirkan penghargaan  kepada China atas bantuan yang diberikan khususnya kepada negara anggota IsDB yang paling ketinggalan dalam usaha melawan pandemik itu.

Beliau berharap kerjasama tersebut dapat menjadi titik tolak kepada usaha meningkatkan pertukaran dan kerjasama antara IsDB dengan China dalam pelbagai bidang di bawah kerangka kerjasama Selatan-Selatan.

Dalam perkembangan lain, Penolong Setiausaha Agung (hal ehwal sains dan teknologi) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Askar Mussinov menyifatkan perjanjian itu satu lagi bukti menunjukkan keakraban persahabatan dan kerjasama China dengan negara-negara Islam.

Beliau menyatakan, pihaknya bersedia bersama dengan IsDB meningkatkan pertukaran dan penyelarasan dengan China dalam bidang kesihatan, sains dan teknologi untuk bersama-sama melawan pandemik COVID-19.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan