AM

UiTM buat laporan polis dakwaan gangguan seksual oleh tenaga pengajar

18/06/2021 03:30 PM

SHAH ALAM, 18 Jun -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi memudahkan proses penyiasatan berhubung dakwaan gangguan seksual dilakukan oleh seorang tenaga pengajar terhadap beberapa pelajar yang tersebar dalam media sosial baru-baru ini.

Ketua Perhubungan Awam, Media dan Protokol Jabatan Komunikasi Korporat UiTM Nora Noordin berkata universiti itu juga telah mengarahkan jawatankuasa siasatan dalaman untuk meneliti dan menjalankan siasatan terperinci terhadap segala dakwaan yang bersangkutan.

“UiTM memandang serius dakwaan itu dan juga komited untuk menangani segala dakwaan yang dibangkitkan.

“Universiti sama sekali tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana staf yang mengambil kesempatan atau menyalahgunakan kuasa mereka sebagai staf kerana UiTM amat mengutamakan keselamatan, kebajikan dan kualiti seluruh warganya, khususnya dalam mengamalkan budaya integriti dan profesional yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai, terutama ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kebajikan, keselamatan dan hal ehwal para pelajar adalah keutamaan universiti dan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terlibat mengikut peraturan dan ketetapan universiti sedia ada.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan