AM

Tidak perlu ragu dengan vaksin COVID-19 - Sultan Johor

19/06/2021 10:36 PM

JOHOR BAHRU, 19 Jun -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menasihati rakyat supaya tidak berasa ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin demi kesihatan serta membendung penularan wabak COVID-19.

Sultan Ibrahim bertitah ini kerana baginda sendiri bersama Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan keluarga Diraja Johor sudah menerima suntikan vaksin berkenaan baru-baru ini. 

"Saya dan keluarga sudah menerima vaksin dan amat berharap rakyat Johor juga tidak ragu-ragu untuk mendapatkan vaksin demi menjaga serta melindungi diri serta keluarga masing-masing.

"Saya dan Permaisuri Johor dalam keadaan yang sihat selepas menerima suntikan vaksin. Alhamdulillah kami juga tiada kesan sampingan," titah baginda dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini. 

Baginda bertitah di samping perlu mengikut segala nasihat serta prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM), pengambilan suntikan vaksin juga penting dalam mengurangkan kadar jangkitan COVID-19 dan mencapai imuniti kelompok.

"Selain melindungi diri, kita juga perlu memikirkan pasukan barisan hadapan, doktor, jururawat dan pasukan perubatan yang sedang bertungkus-lumus merawat pesakit-pesakit COVID-19.

"Lebih ramai yang menerima vaksin, semakin kita hampir kepada imuniti kelompok dan mengurangkan kesan buruk penyakit ini kepada kehidupan seharian kita. Justeru, daftarlah untuk vaksin dan pastikan anda serta ahli keluarga selalu menyemak serta menepati janji temu MySejahtera," titah baginda.

Johor merekodkan 498 kes baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di negeri ini sebanyak 67,366 kes dengan 493 kematian.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan