AM

KERAJAAN LULUS PELABURAN PENGILANGAN SEL SOLAR BERNILAI RM42.2 BILION - PM MUHYIDDIN

24/06/2021 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun -- Kerajaan telah meluluskan lesen pengilang dan galakan insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk aktiviti reka bentuk, pembangunan dan pengilangan sel solar dan modul solar di Malaysia bagi syarikat Risen Energy Co. Ltd dengan jumlah pelaburan sebanyak RM42.2 bilion.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelaburan yang dibuat melalui Risen Solar Technology Sdn Bhd untuk tempoh lima tahun dari 2021 hingga 2025 itu dijangka menjana 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Selain itu, syarikat tersebut juga akan menjalinkan kerjasama dengan universiti dan institusi tempatan dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk pengambilan pelajar secara internship (latihan amali),” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat secara maya bersama pengerusi dan presiden Risen Energy, Xie Jian yang turut disertai Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Arham Abdul Rahman.

Muhyiddin berkata kehadiran Risen Solar dalam industri ini akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berintegrasi bagi produk solar.

Menurutnya, ketika ini terdapat beberapa syarikat pengeluar global solar seperti Jinko Solar, Longi Solar, JA Solar, Hanwha Q Cell, First Solar dan Sun Power yang sedang beroperasi di Malaysia.

“Pelaburan daripada syarikat Risen Energy ini merupakan satu kejayaan besar buat negara, sekali gus menunjukkan keupayaan pengurusan ekonomi Malaysia ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran pandemik COVID-19.

“Alhamdulillah, trend kemasukan berterusan pelaburan asing berimpak tinggi ini tentunya menyuntik lebih keyakinan dalam kalangan komuniti pelabur luar terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia selari dengan aspirasi Pelan Pemulihan Negara, yang pastinya akan membawa manfaat besar kepada masyarakat dari segi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan,” tambahnya.

Sementara itu, Mohamed Azmin dalam satu kenyataan hari ini berkata pelaburan oleh Risen Energy itu termasuk perbelanjaan modal dan operasi bagi tempoh 15 tahun.

Beliau berkata Risen Energy mengumumkan pelaburan pertamanya di Asia Tenggara dengan membuka kilang pengeluaran terbaharunya di Taman Teknologi Tinggi Kulim di Kedah untuk mengeluarkan modul fotovoltaik kecekapan tinggi 3GW bagi memenuhi permintaan global hasil daripada sokongan padu dan kemudahan yang disediakan kerajaan Malaysia. 

“Pembinaan kemudahan di Taman Teknologi Tinggi Kulim itu dijangka selesai pada akhir tahun ini, manakala aktiviti komersial dijangka bermula pada suku pertama 2022.  

“Kemudahan baharu ini akan menyumbang kepada kapasiti pengeluaran tahunan 3GW bagi tempoh lima tahun pertama,” katanya. 

Mohamed Azmin berkata pelaburan besar-besaran ini jelas mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap pentadbiran sekarang dan kestabilan politik negara yang mana penting dalam menyediakan iklim kondusif bagi pertumbuhan dan pengembangan pelaburan serta perniagaan. 

“Bagi memanfaatkan peluang pekerjaan yang bakal wujud nanti MIDA telah bekerjasama dengan syarikat itu bagi program pembangunan tenaga kerja khusus untuk melahirkan kumpulan tenaga kerja tempatan yang mampan bagi memenuhi permintaan pemain solar global ini. 

“Projek Risen Energy di Malaysia juga akan memberi manfaat kepada perniagaan tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana serta menyediakan peluang kepada mereka untuk menjadi sebahagian daripada rantaian nilai global,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan