EKONOMI

SERBA DINAMIK: EMPAT PENGARAH BEBAS LETAK JAWATAN BERHUBUNG ISU KPMG

25/06/2021 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun -- Empat pengarah bebas bukan eksekutif Serba Dinamik Holdings Bhd meletak jawatan hari ini berikutan perbezaan pendapat mengenai keputusan syarikat itu terhadap bekas juruaudit luarannya, KPMG PLT.

Serba Dinamik dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata empat pengarah yang meletakkan jawatan itu ialah Hasman Yusri Yusoff, Datuk Seri Tengku Hasmuddin Tengku Othman, Sharifah Irina Syed Ahmad Radzi dan Rozilawati Basir.

Keputusan syarikat itu untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap KPMG PLT juga merupakan antara alasan yang menyebabkan para pengarah tersebut meletakkan jawatan, katanya.

Serba Dinamik mengumumkan pada 22 Jun ia memfailkan tuntutan sivil terhadap KPMG atas dakwaan kecuaian profesional, pelanggaran kontrak dan pelanggaran kewajipan statutori. 

Sementara itu, pada 24 Jun, penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu berkata KPMG telah menyerahkan notis peletakan jawatan sebagai juruaudit syarikat tersebut berkuat kuasa serta merta. 

Pertikaian pengauditan tercetus antara Serba Dinamik dan KPMG selepas bekas juruaudit luaran itu mengetengahkan perbezaan melibatkan urus niaga berjumlah RM4.54 bilion kepada pengarah bebas syarikat tersebut pada Mei tahun ini.

Isu yang dibangkitkan itu adalah berdasarkan kepada akaun kewangan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2020.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan