EKONOMI

Serba Dinamik catat keuntungan bersih RM113 juta

25/06/2021 09:46 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun  -- Serba Dinamik Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM113.32 juta bagi suku berakhir 31 Mac 2021 selepas dipacu oleh hasil sebanyak RM1.38 bilion berikutan aktiviti kukuh daripada segmen operasi serta penyelenggaraan (O&M) termasuk kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC). 

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata segmen O&M dan EPCC masing-masing menyumbang 90.5 peratus dan 7.2 peratus. 

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu berkata tidak ada perbandingan maklumat kewangan yang tersedia untuk tempoh kewangan terkait disebabkan perubahan tahun kewangannya kepada 30 Jun berbanding 31 Disember pada 7 Mei lepas.

Penyata kewangan yang telah diaudit seterusnya akan tersedia bagi tempoh 18 bulan mulai 1 Jan 2020 hingga 30 Jun 2021 dan selepas itu, tahun kewangan terakhir akan dicatatkan menjelang 30 Jun untuk setiap tahun berikutnya. 

Jumlah dividen bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2021 adalah 5.45 sen sesaham biasa. 

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Dr Mohd Abdul Karim berkata walaupun penyumbang teras pendapatan syarikat kekal melalui segmen O&M serta EPCC, ia secara agresif sedang mengembangkan perniagaan ICT di dalam dan luar negara.

"Pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini telah mendorong Serba Dinamik untuk berkembang dan meneroka sektor strategik ekonomi," katanya. 

Syarikat itu proaktif dalam mengejar peluang baharu di bidang bukan minyak dan gas, malah baru-baru ini, ia telah meneroka peluang dalam industri angkasa lepas, yang mana ia mahu mengembangkan dan meningkatkan keupayaan teras dalam kejuruteraan bernilai tinggi ke dalam industri berkenaan.

Kumpulan itu juga telah memasuki ke dalam pasaran Amerika Syarikat melalui penajaan syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC), Data Knights Acquisition Corp, yang sedang berada dalam kedudukan terbaik bagi mendapat manfaat daripada potensi pulangan sebagai peserta awal.

Pada penutup hari ini, saham Serba Dinamik merosot 23.36 peratus kepada 41 sen dengan 485.65 juta saham bertukar tangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan