SANDAKAN, 27 Jun -- Kerajaan Sabah bercadang mempromosikan satu segmen pelancongan yang di luar kebiasaan dengan sasarannya ialah pelancong yang kuat semangat.
Mengulas perkara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata segmen tersebut melibatkan kawasan “berhantu” yang sering dikaitkan dengan lokasi bersejarah di negeri berkenaan.
“Sekarang ini di seluruh dunia, ada sejenis segmen ‘dark tourism’ yang menyasarkan kelompok tertentu dan ramai yang berminat tentang segmen ini.
“Namun segmen ini memerlukan seseorang yang berani, justeru mereka yang lemah semangat, jangan cuba-cuba (menyertai aktiviti ini),” katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Agnes Keith, di sini hari ini.
Jafry berkata Jabatan Muzium Sabah menawarkan produk baharu itu bagi menarik lebih ramai pelawat mengunjungi Rumah Agnes Keith, khususnya mereka yang berminat dalam aktiviti paranormal, untuk bermalam di kediaman tinggalan zaman kolonial British tersebut.
“Lokasi ini (Rumah Agnes Keith) merupakan kediaman bersejarah semasa era pentadbiran British dan antara tarikan pelancong di Sandakan. Bangunan ini merupakan mercu tanda kewujudan kuasa Barat di Sabah dan tempat ini harus dijaga sebaik mungkin kerana sudah menjadi sebahagian daripada warisan Sabah,” katanya.
Penolong Kurator Muzium Sabah Safinah Yusop berkata rancangan untuk menjadikan Rumah Agnes Keith sebagai produk pelancongan akan dibentang kepada kementerian berkenaan dalam masa terdekat.
Diharapkan produk ini dapat ditawarkan sebaik sahaja Sabah membuka semula sempadannya kepada pelawat antarabangsa, katanya, menambah pelawat boleh memilih berkhemah di luar bangunan atau membawa beg tidur dan bermalam di dalam rumah, selepas membayar caj tertentu.
“Idea ini tercetus selepas pelancong asing memberitahu mereka diselubungi perasaan seram sebaik sahaja memasuki rumah itu, namun tiada seorang pun yang mengaku ternampak (hantu).
“Kisah mengenai hantu di rumah itu hanya tersebar dalam kalangan penduduk setempat. Ada yang kata mereka nampak seseorang mengintai dari tingkap, manakala yang lain pula kata ternampak wanita di atas bumbung rumah,” katanya.
Rumah Agnes Keith dinamakan bersempena seorang penulis Amerika Syarikat yang dikenali menerusi autobiografi beliau semasa tinggal di Sandakan bersama suaminya, Harry Keith, seorang pemulihara hutan berbangsa Inggeris, pada 1930-an. Dalam karyanya itu, beliau menceritakan tentang penampakan lembaga serta insiden-insiden misteri di rumah berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial