BERITA COVID–19   Rusia lapor kes pertama varian Omicron | Enam lagi pelajar Maktab Mahmud Sik positif COVID-19 | 98.2 peratus kes baharu COVID-19 kategori satu dan dua | Rakyat sokong langkah Jepun hentikan pengeluaran baharu visa warga asing | Arab Saudi perincikan syarat pemberian status 'imun' bagi pengembara luar | 
EKONOMI

Serba Dinamik ceburi industri teknologi angkasa

01/07/2021 04:04 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Serba Dinamik Holdings Bhd menyifatkan usaha terbaharunya menceburi industri teknologi angkasa sebagai antara dorongan sosial dan ekonomi bagi memastikannya kekal relevan untuk masyarakat.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata usaha syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu turut berkait rapat dengan kekurangan infrastruktur dari segi pendidikan secara dalam talian serta sambungan internet terutama di kawasan terpencil dan luar bandar yang sememangnya amat diperlukan.

"Ini salah satu isu paling kritikal pada masa pandemik ini. Ramai pelajar terjejas pelajaran mereka akibat kekurangan akses internet. 

“Syarikat ini sendiri berasal dari Sarawak dan kami amat peka serta memahami isu jurang digital. (Oleh itu) penubuhan bahagian teknologi angkasa yang baharu dalam kumpulan ini adalah untuk menangani isu-isu semasa seperti ini,"  katanya kepada Bernama pada Rabu.

Menurut Bank Dunia menerusi Laporan Pembangunan Dunia 2016, setiap 10 peratus penembusan jalur lebar tetap mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 1.21 peratus bagi negara-negara maju dan 1.38 peratus untuk negara-negara sedang membangun. 

Mohd Abdul Karim berkata, sejajar dengan keupayaan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi melalui satelit, inisiatif yang dibangunkan oleh Serba Dinamik lebih menjurus kepada revolusi industri 4.0 (IR 4.0)  yang dapat dimanfaatkan walaupun di kawasan-kawasan terpencil.

Inisiatif tanggung jawab sosial korporat (CSR) bahagian teknologi angkasa adalah untuk menyokong kerajaan dan pelbagai kementerian dan agensi di Malaysia dengan menawarkan penyelesaian kesalinghubungan internet di kawasan-kawasan terpencil. 

Berikutan itu, syarikat berkenaan kini di fasa akhir untuk memilih empat lokasi pertama dengan program terbabit dijangka bermula menjelang minggu kedua Julai 2021.

Menurut Mohd Abdul Karim,  sejajar dengan sokongan rakan kongsi yang bertapak kukuh di pasaran antarabangsa, Serba Dinamik juga berhasrat untuk meneroka pasaran global dalam perkhidmatan urusan rangkaian dan penyelesaian satelit. 

Tidak terhad hanya kepada satelit telekomunikasi, syarikat juga sedang membuat kajian dan menilai keperluan satelit untuk kegunaan sektor lain termasuk pemantauan bumi, cuaca dan iklim.

Ia turut menyasarkan untuk membangunkan satelit bagi tujuan pelbagai fungsi dalam tempoh lima tahun selain akan mula melabur dalam aset dan infrastruktur berkaitan kesalinghubungan melalui teknologi satelit. 

Sehubungan itu, Serba Dinamik Group Bhd (SDGB) telah mengaktifkan teleport dan Pusat Operasi Rangkaian (NOC) pertamanya dan akan berkembang ke beberapa lokasi lain terutama di Sarawak.  

Serba Dinamik juga telah memilih untuk bekerjasama dengan Network Innovations Inc iaitu penyedia penyelesaian komunikasi satelit dari Kanada yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam penyediaan aspek seperti mudah alih dan satelit. 

Pelan jangka panjang itu turut menyaksikan SDGB di fasa kajian dan reka bentuk bagi satelit telekomunikasi sendiri dengan rakan strategik global.

Bagaimanapun, Mohd Karim menegaskan penyertaan SDGB dalam industri dan ekonomi angkasa tidak bermakna ia beralih daripada aspek kecekapan terasnya. 

"Mandat utama bahagian teknologi angkasa adalah untuk operasi asset, infrastruktur dan perkhidmatan telekomunikasi yang selari dengan bidang keutamaan SDGB iaitu teknologi maklumat dan komunikasi," katanya. 

Visi bagi menerokai industri baharu itu juga disifatkan beliau sebagai perlu dalam memastikan syarikat berkenaan kekal di hadapan dalam perubahan inovasi dan teknologi.  

“Pandemik COVID-19 mungkin tidak akan berakhir dalam masa terdekat. Kita perlu sedia menghadapi norma baharu untuk merapatkan jurang digital dengan fokus terhadap empat elemen utama iaitu kesalinghubungan, pendidikan, kesihatan dan perdagangan," katanya,

Beliau berkata, Serba Dinamik juga telah mengambil langkah-langkah perlu melalui bahagian teknologi angkasa itu untuk menyampaikan perkhidmatan telekomunikasi digital pada harga berpatutan, boleh dipercayai serta pelaksanaan pantas ke kawasan kekurangan atau tanpa akses terbabit.

-- BERNAMA 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan