SEPANG, 9 Julai -- Kerajaan Selangor telah mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam agar sektor ekonomi yang benar-benar perlu sahaja dibuka sehingga tamat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Dengan mengambil kira kes harian COVID-19 yang semakin meningkat di Selangor, beliau berkata syor yang turut dikemukakan kepada MKN antaranya mengekalkan penutupan sektor ekonomi dan industri yang telah ditetapkan sehingga tamat PKPD.
PKPD di Selangor melibatkan 34 mukim di lapan daerah iaitu daerah Petaling; Hulu Langat; Sepang; Gombak; Kuala Langat; Klang; Kuala Selangor dan Hulu Selangor bermula 3 hingga 16 Julai ini.
Menurut Amirudin, perbincangan dengan MKN turut merangkumi kebenaran sektor elektrik dan elektronik (E&E) beroperasi di kawasan PKPD mulai 7 Julai seperti yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang menurut kementerian itu, E&E dan rantaiannya adalah sektor signifikan dan kritikal yang perlu beroperasi.
“Alasannya, Malaysia merupakan rantaian utama E&E dunia, kalau sini tersekat, keseluruhan rantaian perniagaan E&E juga terjejas. Jadi kita pun (perlu) mengambil kira perkara sebegitu," katanya dalam sidang media hari ini selepas meninjau Taman Murni di sini yang dikenakan PKPD sejak 30 Jun lepas.
Amirudin berkata pelaksanaan PKPD di Selangor adalah satu daripada langkah drastik diambil kerajaan negeri untuk menghentikan penularan COVID-19 selain mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyatnya.
Beliau berkata angka kes harian COVID-19 di Selangor melonjak kepada 4,400 hari ini pada hari ketujuh pelaksanaan PKPD berbanding 4,152 kes semalam adalah hasil aktiviti pengesanan kontak rapat dan saringan kesihatan khususnya ke atas individu yang bergejala.
Menurutnya, Selangor dijangka beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Ogos atau September selepas memenuhi nilai ambang yang ditetapkan kerajaan bagi peralihan fasa tersebut.
Beliau berkata kadar vaksinasi di Selangor mampu mencecah 10 peratus dalam tempoh seminggu ini namun angka kes di negeri itu masih tinggi dan sistem kesihatannya terkesan dengan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU).
Amirudin turut meninjau proses suntikan vaksin COVID-19 kepada lebih 1,000 penduduk dewasa di Taman Murni yang diadakan dua hari bermula hari ini. PKPD di kawasan itu melibatkan kira-kira 1,600 penduduk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial