BERITA TERGEMPAR   Former inspector general of police (IGP) Tun Mohammed Hanif Omar died at 2.15 am today - Son | Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Mohammed Hanif Omar meninggal dunia pada 2.15 pagi tadi - Anak | 
EKONOMI

APPLIED ENGINEERING DARI AS WUJUDKAN OPERASI USAHA SAMA DENGAN QES DI MALAYSIA

15/07/2021 04:40 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai -- Applied Engineering Inc (AE) dari San Jose, California, Amerika Syarikat (AS) akan membangunkan kilang usaha sama dengan syarikat yang sama bidang dari Malaysia, QES Manufacturing Sdn Bhd (QES) di Kawasan Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang tahun ini.

Menurut kenyataan bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), AE dan QES pada Khamis, kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian untuk menubuhkan syarikat usaha sama, Applied Engineering Technology (M) Sdn Bhd (AET).

Syarikat usaha sama itu akan menyediakan perkhidmatan pembuatan kontrak elektromekanikal berteknologi tinggi, merangkumi pemprototaipan sehingga pengeluaran jumlah yang tinggi, menerusi penyelesaian khusus yang canggih dan proses Pengeluaran Produk Baharu (NPI), jelasnya.

“Operasi usaha sama itu dibentuk untuk memenuhi keperluan khusus pelanggan dalam segmen pasaran pembuatan peralatan semikonduktor, sains hayat dan peralatan perubatan, pertahanan serta aeroangkasa, bukan hanya di Malaysia malah negara ASEAN dan China,” tambah ketiga-tiga pihak.

Cadangan pelaburan awal bagi AET adalah kira-kira RM5 juta dan pelaburan itu diunjurkan meningkat sehingga RM20 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang, menurutnya.

AET dijadualkan memulakan operasi di premis sementara sebelum berpindah ke kilang baharu di Kawasan Perindustrian Batu Kawan pada suku keempat 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman berkata pejabat MIDA di San Jose bekerjasama rapat dengan AE sejak Disember 2019 dan pada Mei 2021, AE dan QES memeterai Memorandum Persefahaman (MoU).

“Usaha sama ini seiring dengan strategi MIDA untuk menarik syarikat berteknologi tinggi supaya melabur di negara ini serta mengembangkan jalinan domestik kepada rantaian bekalan global dan serantau, sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

“Kita gembira menyaksikan AE memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan luar negara pertamanya,” katanya.

Sementara itu, Presiden AE, Jack Yao berkata Malaysia akan berperanan sebagai platform lonjakan bagi langkah strategi AE untuk berkembang di luar AS bagi memberi perkhidmatan kepada pelanggan utamanya di Malaysia dan Asia Pasifik.

“AE akan membawa generasi teknologi canggih terkini kami ke Malaysia dan membangunkan sektor teknologi baharu keseluruhannya. Beberapa aktiviti penyelidikan dan pembangunan juga dirancang untuk dilakukan di lokasi baharu ini,” katanya.

Beliau berkata Malaysia boleh meraih manfaat daripada kedudukannya sebagai sebuah negara teknologi dan memperkukuh rantau ini sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi di Asia Pasifik.

Presiden QES Group Bhd, Chew Ne Weng berkata QES berharap dapat memanfaatkan kelebihan AE dan aspek teknikalnya untuk menambah baik kemampuan pembuatan pihaknya.

AE menerusi usaha sama dengan QES akan memperoleh manfaat daripada pasaran ASEAN keseluruhan yang mempunyai 662 juta penduduk.

Projek itu juga bersedia untuk meraih kelebihan daripada pelbagai Perjanjian Perdagangan Bebas yang dimeterai Malaysia, sama ada secara dua hala atau di bawah ASEAN.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan