AM

Rusia tunjuk minat terhadap kedinamikan Asia Tenggara

22/07/2021 10:16 AM

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 22 Julai -- Mesyuarat Khas Menteri ASEAN-Rusia di Jakarta, Indonesia, pada 6 Julai lalu membuktikan kepentingan Rusia dalam kedinamikan wilayah Asia Tenggara.

Dipengerusikan bersama Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi dan rakan sejawatannya dari Rusia, Sergey Lavrov, mesyuarat itu juga menandakan 30 tahun hubungan ASEAN-Rusia dan 25 tahun dialog Rusia-ASEAN.

Mesyuarat itu antara lain merumuskan mengenai rundingan pelaksanaan Pelan Strategik ASEAN-Rusia (2021-2025) dan pelaksanaan kertas cadangan rundingan perwakilan tinggi ASEAN-Rusia mengenai isu keselamatan.

"Selama ini tumpuan sering diberikan kepada China dan Amerika Syarikat sehingga kita cenderung mengabaikan sumbangan pihak berkepentingan yang lain - Jepun, Rusia, dan India," kata Ketua Pengajian Eropah di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Rahul Mishra kepada Bernama.

Mishra, yang juga ahli bersekutu Pusat Regionalisme ASEAN untuk UM, berkata ini menunjukkan Rusia bersedia mengikut peraturan ASEAN dan komitmennya terhadap pemusatan ASEAN.

"ASEAN sedar sepenuhnya bahawa ia tidak dapat menghentikan persaingan kuasa besar di rantau ini. Sebab itu ASEAN selalu bersedia untuk berinteraksi dengan sebanyak mungkin pihak berkepentingan,” katanya.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpandangan pembabitan Rusia di rantau ini lebih kepada aspek perdagangan.

Rusia  ketika ini lebih berminat untuk memperkukuh dan mengembangkan hubungan perdagangan dengan ASEAN, katanya.

Dagangan dua hala ASEAN dan Rusia masih amat rendah dan kesedaran terhadap potensi besar rantau ASEAN telah mendorong Rusia untuk mengambil langkah bagi memperluas peluang dagangan antara mereka.

ASEAN, dengan jumlah penduduk melebihi 661.5 juta dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah US$3.2 trilion, adalah satu daripada ekonomi yang berkembang pesat. Ia kini berada di kedudukan ekonomi kelima terbesar dan blok itu diunjurkan sebagai ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030.

Sementara itu, perdagangan dua hala ASEAN-Rusia adalah sederhana dengan hanya US$18.2 bilion yang dicatatkan pada 2019 manakala pelaburan langsung asing (FDI) Rusia di ASEAN berjumlah US$45 juta, sekitar 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan US$160.6 bilion yang diterima pada 2019 .

“Daripada segi dagangan, Rusia banyak ketinggalan. Sebab itu ia melihat perlu untuk ‘catch up’ dengan negara yang berdagang dengan ASEAN dan juga mendapatkan pasaran lebih luas dan berpotensi dengan ASEAN.

“Selain sektor petroleum dan tenaga, Rusia juga mahu memperluas pasaran senjata dan produk ketenteraan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Daripada aspek geopolitik, Mohd Azizzudin berkata walaupun Rusia mengiktiraf kepentingan rantau ASEAN bukan fokus kepada polisi luar Rusia yang lebih tertumpu kepada benua Eropah.

“Rusia juga tidak mahu terpalit dalam persaingan antara China dan AS di ASEAN. Rusia cuba memberi persepsi positif kepada ASEAN bahawa ia mahu mengalakkan hubungan dagangan,” katanya. 

Hubungan Rusian-ASEAN bermula pada 1991 dan menjadi Rakan Dialog pada 1996 dan terus berkembang sebagai rakan strategik bermula November 2018.

-- BERNAMA  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan