AM

Pengayuh beca Pulau Pinang gembira terima suntikan vaksin COVID-19

25/07/2021 07:47 PM

Oleh Goh Kok Guan

GEORGE TOWN,  25 Julai -- Seramai 165 pengayuh beca di Pulau Pinang melahirkan rasa gembira apabila mendapat suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di Dewan Sri Pinang di sini hari ini.

Seorang daripadanya, Abdul Kadir Kalidas Abdullah, 51, berasa lega apabila akhirnya mendapat suntikan vaksin yang ditunggu-tunggu. 

“(Suntikan) terasa agak sakit sedikit, tetapi berbaloi karana ini bermakna kami maju selangkah lagi untuk kembali kepada pekerjaan kami,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut menggesa orang ramai agar segera mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dalam membantu Malaysia menjadi negara yang selamat dengan mencapai imuniti kelompok.

Selain mendapat suntikan COVID-19, para pengayuh beca itu juga juga menikmati pelbagai manfaat lain termasuk pemeriksaan perubatan, pembaharuan lesen selama setahun, gunting dan cukur rambut di acara hari ini, semuanya secara percuma.

Seorang lagi pengayuh beca Chan Siew Kong, 80, berkata, beliau berasa sungguh lega kerana dapat gunting rambut selepas tidak dapat berbuat demikian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan

Beliau berkata suntikan vaksin dan semua kemudahan yang diperoleh secara percuma ini memberikan sedikit harapan kepadanya bahawa keadaan akan menjadi lebih baik selepas berakhirnya pandemik COVID-19 tidak lama lagi.

“Saya percaya semua ini pertanda baik untuk kita dan diharapkan selepas kita divaksin sepenuhnya kita akan bersedia untuk menyambut kedatangan semula pelancong dan kembali bekerja,” katanya

Terdahulu Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif  Yeoh Soon Hin hadir di Dewan Sri Pinang hari ini untuk meninjau proses vaksinasi.

Yeoh  berkata kerajaan negeri telah mengatur rancangan bagi memastikan 300 pengayuh beca dan pemandu teksi di negeri itu menerima vaksin bulan ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan