LENGGONG, 31 Julai -- Kerajaan negeri Perak masih belum membuat ketetapan rasmi untuk menjadikan Hospital Sungai Siput (HSS) sebagai pusat rawatan khusus bagi pesakit COVID-19 susulan peningkatan kes positif wabak berkenaan di negeri itu sejak beberapa hari lepas.
Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata bagaimanapun pihaknya sentiasa bersiap sedia ke arah perkara itu jika jumlah peningkatan kes positif COVID-19 berada pada tahap kritikal.
“Barangkali itu hanyalah cadangan dan persiapan (HSS) jika berlaku (peningkatan kes) sepertimana kerajaan menyediakan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.
“Cuma setakat ini kita tak kritikal seperti beberapa negeri lain, tapi kita sentiasa bersiap sedia jika berlaku peningkatan kes yang kritikal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Penyerahan Bantuan Makanan Nelayan Darat Daerah Lenggong anjuran Jabatan Perikanan Perak di Pusat Pekasam Negara, di sini hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai desas-desus HSS menutup sementara perkhidmatan rawatan pesakit luar di hospital itu yang kononnya bermula pada 29 Julai lepas bagi memberi laluan kepada pesakit COVID-19.
Saarani berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan peningkatan kes positif COVID-19 di negeri itu berlaku disebabkan oleh tindakan segelintir individu yang merentas negeri bagi menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai lepas.
Beliau berkata faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan kes itu adalah disebabkan kerajaan negeri melakukan aktiviti pengesanan dan ujian saringan secara aktif di semua kawasan berisiko tinggi termasuk lokasi dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Itu (peningkatan) tiada masalah bagi saya, itu lebih baik daripada kita menyembunyikannya. Tidak dibuat calitan, semua orang akan rasa selesa, tapi bila buat, baru kita tahu ada orang tak bergejala tetapi sebenarnya telah dijangkiti. Bagi saya lagi cepat kita kesan lagi baik kerana lebih cepat kita boleh membaikinya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial