KOTA BHARU, 1 Ogos -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan mengagihkan bantuan berjumlah RM15.6 juta menerusi Program Bantuan MAIK 2021.
Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata bantuan melibatkan peruntukan Wang Ehsan Negeri Kelantan itu akan membabitkan tiga pakej skim bantuan iaitu Bantuan Prihatin MAIK, Bantuan Perangsang MAIK dan Projek Pemangkin Kontraktor Kecil.
Tengku Temenggong Kelantan itu berkata Bantuan Prihatin MAIK yang berjumlah RM6.1 juta, bukan hanya melibatkan asnaf, tetapi juga membabitkan orang Islam serta bukan Islam, termasuk kategori B40 dan M40 yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
“Bantuan dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan ini menyasarkan penerima dalam kalangan ibu tunggal, pesakit kronik atau terlantar dan mereka yang hilang pekerjaan serta sumber pendapatan, yang dijangka memberi manfaat kepada seramai 30,500 orang.
“Penerima bantuan ini akan dikenal pasti oleh ketua jajahan dengan kerjasama imam-imam masjid bandar dan mukim seluruh Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Bagi Bantuan Perangsang MAIK pula, sebanyak RM5.5 juta diperuntukkan untuk disalurkan kepada penggiat ekonomi yang membabitkan penjaja (pasar awam, pasar borong dan pasar malam), peniaga kecil (warung dan gerai tepi jalan), pengusaha (teksi, beca, e-hailing, bas, van sekolah) selain petani, peladang kecil serta nelayan.
“Bantuan secara tunai ini bagi membantu penggiat ekonomi berskala kecil meneruskan kembali perniagaan atau aktiviti mereka yang tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dari segi pemilihan dan penyaluran bantuan ini juga akan diselaraskan oleh ketua jajahan seluruh Kelantan,” katanya.
Projek Pemangkin Kontraktor Kecil pula membabitkan peruntukan berjumlah RM3 juta dan dijangka membantu kontraktor Kelas G-1 yang berdaftar dengan MAIK.
"Peruntukan ini termasuklah projek kerja-kerja membaiki, membaik pulih rumah asnaf MAIK berjumlah RM1 juta yang melibatkan sekurang-kurangnya 100 buah rumah asnaf.
“Pada masa sama 100 orang kontraktor dijangka akan menerima peluang kerja untuk tujuan ini. Pemilihan penerima dan kontraktor akan dilakukan bersama pihak MAIK dan Pejabat Tanah dan Jajahan," katanya.
Selain itu, Tengku Mohamad Rizam berkata peruntukan itu turut membabitkan kerja-kerja pembaikan kecil dan pembekalan keperluan asas surau serta madrasah yang membabitkan RM2 juta, sekali gus akan memberi impak kepada 150 kontraktor.
“Bantuan serampang dua mata ini juga bermatlamat untuk memastikan rumah-rumah asnaf, surau dan madrasah berada dalam keadaan selesa dan selamat untuk digunakan, di samping membantu kontraktor-kontraktor kecil sedikit bernafas setelah masa suram yang panjang," katanya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kewangan, agensi-agensi awam dan swasta serta individu yang saban tahun terus memberikan kepercayaan kepada MAIK bagi menguruskan program-program bantuan di negeri Kelantan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial