BERITA COVID–19   Varian Omicron: Thailand pertimbang batal rancangan guna kit ujian pengesanan pantas | COVID: Kes baharu di Sarawak kembali dua digit | Varian Omicron: Jepun sekat ketibaan pelancong asing | Belum jelas varian Omicron mudah berjangkiti, sebabkan gejala lebih teruk - WHO | Kes pertama positif COVID-19 VTL Malaysia-Singapura dikesan - Khairy | 
EKONOMI

Sultan Sharafuddin zahir rasa syukur Selangor kekal pilihan pelabur

23/08/2021 03:47 PM

SHAH ALAM, 23 Ogos -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menzahirkan rasa bersyukur kerana negeri itu masih menjadi pilihan pelabur tempatan dan asing untuk menjalankan perniagaan walaupun dihimpit pandemik COVID-19 yang berpanjangan.

Baginda bertitah, keadaan tersebut didorong oleh kemudahan prasarana yang lengkap dan moden serta dasar-dasar kerajaan yang dapat memudah cara aspek persekitaran perniagaan.

Sultan Sharafuddin bertitah, pakej-pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat dan disokong oleh kerajaan negeri bagi memastikan kelangsungan persekitaran perniagaan, juga berjaya mengekalkan Selangor sebagai pusat tumpuan ekonomi negara.

Titah baginda, ini berikutan Selangor turut menempatkan sebilangan besar kalangan pemain perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri pembuatan dan perkilangan.

“Kelebihan daya saing ini menyaksikan prestasi pelaburan dan perindustrian 2020 dengan pencapaian cemerlang yang mana Selangor mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi berbanding negeri-negeri lain. 

“Sebanyak 324 projek perkilangan telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM18.43 bilion iaitu RM6.95 bilion (37.7 peratus) adalah pelaburan tempatan dan RM11.48 bilion (62.3 peratus) daripada pelaburan asing.

“Jepun masih merupakan pelabur utama dan diikuti oleh Belanda dan China,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14, di sini hari ini. 

Sultan Sharafuddin bertitah, di sebalik kemelut COVID-19 itu, baginda turut dimaklumkan bahawa sebanyak 19,950 potensi peluang pekerjaan berjaya diwujudkan menerusi projek-projek perkilangan yang diluluskan di Selangor.

“Petaling mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi berbanding daerah lain di negeri itu dengan nilai pelaburan melebihi RM5.934 bilion. Ini diikuti oleh Kuala Langat dengan jumlah melebihi RM5.785 billion dan Klang melebihi RM3.477 billion.

“Nilai pelaburan itu melepasi nilai sasaran pelaburan sebanyak RM12 bilion pada 2020,” titah baginda.

Bagi tahun ini, Sultan Selangor bertitah sasaran pelaburan yang ditetapkan masih RM12 bilion berdasarkan jangkaan berlaku pengurangan dalam aktiviti pelaburan akibat penularan COVID-19 selain proses pemulihan ekonomi dihadapi negara ketika ini. 

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan