AM

KPDNHEP P.Pinang pantau harga kit ujian pantas antigen COVID-19 berterusan

08/09/2021 05:50 PM

GEORGE TOWN, 8 Sept -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan berterusan terhadap pematuhan harga maksimum kit ujian pantas antigen COVID-19.

Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata langkah itu bagi memastikan kualiti dan pematuhan harga maksimum bagi kit ujian tersebut selaras dengan harga siling runcit RM19.90 setiap set dan harga borong RM16 satu set ditetapkan kerajaan, berkuat kuasa 5 Sept lepas.

“Selain itu, syarikat pengeluar tempatan kit ujian antigen hari ini telah memberi jaminan kepada KPDNHEP untuk bekalan (kit ujian antigen COVID-19) yang mencukupi untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan di fasiliti Medical Innovation Ventures Sdn Bhd (Mediven) di Bayan Lepas hari ini.

Mohd Ridzuan berkata menerusi 55 pemeriksaan dan tinjauan di seluruh negeri, pihaknya mendapati rata-rata pemborong dan peruncit di negeri ini mematuhi harga maksimum yang telah diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipecatutan 2011 itu. 

Beliau turut memberi amaran bahawa individu yang didapati menjual kit ujian itu melebihi harga maksimum boleh didenda hingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau kompaun hingga RM50,000 manakala syarikat akan didenda hingga RM500,000 atau kompaun hingga RM250,000, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Mediven Ariff Ismail ketika ditanya mengenai Kementerian Kesihatan (KKM) yang sedang mempertimbangkan untuk membekalkan kit ujian kendiri COVID-19 secara percuma kepada golongan B40 berkata pihaknya mengalu-alukan polisi yang memberi manfaat dan kemudahan kepada rakyat untuk memastikan kit ujian itu mudah didapati setiap lapisan masyarakat.

“Dalam masa yang sama, kita berharap agar kerajaan mempertimbangkan untuk membeli produk-produk keluaran tempatan untuk membantu usaha saringan (COVID-19) yang setanding malah ada yang lebih baik daripada kit ujian yang diimport dari luar negara sekali gus dapat membantu ekonomi syarikat-syarikat tempatan,” katanya.

2 Sept lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata KKM sedang mempertimbangkan untuk membekalkan kit ujian kendiri COVID-19 secara percuma kepada golongan B40.

Menurut Ariff, menyedari kepentingan proses saringan dan pengesanan untuk memutuskan rantaian COVID-19, kit ujian kendiri air liur keluaran Mediven kini lengkap dengan kod respons pantas atau kod QR untuk memberikan maklumat rekod rantaian pembekalan secara keseluruhan.

Beliau berkata selain membolehkan pelanggan menghubungi semula pengeluar bagi memastikan keaslian produk, kod itu juga mampu mencegah pelaporan ujian berganda oleh pesakit yang sama.

Katanya kit tersebut mampu mengesan varian mutasi COVID-19 yang berbeza seperti Alpha, Beta, Delta, Gamma dan sebagainya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan