AM

26 pemenang NEA 2021 dipilih wakili Malaysia pada Anugerah Tenaga ASEAN 2021

15/09/2021 09:52 AM

KUALA LUMPUR, 11 Sept  -- Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mengumumkan 26 pemenang National Energy Award (NEA) 2021 telah dipilih untuk mewakili Malaysia pada Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) 2021.

AEA adalah anugerah tertinggi Asia Tenggara untuk kecemerlangan dalam bidang tenaga.

AEA 2021 akan diadakan secara maya pada bulan September dan dihoskan oleh Brunei Darussalam.

Menteri KeTSA Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut melahirkan harapan agar kemenangan di AEA 2021 nanti akan berpihak kepada wakil Malaysia.

“Saya bangga bahawa lebih 40 daripada 69 organisasi Malaysia yang mengambil bahagian telah mendapat pengiktirafan di AEA.

"Ini bertepatan dengan aspirasi kita dalam mengalihkan industri bekalan elektrik ke sistem tenaga yang lebih mampan, boleh dipercayai dan berpatutan.

"Pencapaian ini juga menggambarkan usaha Malaysia dalam memacu agenda tenaga lestari," katanya dalam ucaptama pada majlis pengumuman pemenang NEA 2021 ke-4 yang diadakan secara maya hari ini.

Penerima AEA 2021 akan diumumkan pada pertengahan September 2021, bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-39.

NEA diperkenalkan pada tahun 2018 sebagai usaha strategik untuk mengiktiraf pencapaian dan amalan terbaik syarikat dan organisasi tempatan dalam menerapkan inisiatif tenaga lestari.

NEA berperanan dalam mengenal pasti amalan kecekapan tenaga terbaik (EE) dan inisiatif tenaga boleh diperbaharui (RE) oleh syarikat dan organisasi Malaysia, kata Takiyuddin.

Sejak diwujudkan, NEA telah menarik penyertaan lebih daripada 400 organisasi, dengan lebih 54 organisasi menerima anugerah.

"Sebanyak 69 organisasi telah dipilih untuk mewakili Malaysia di Anugerah Tenaga ASEAN selama ini," tambahnya.

Di samping itu, menteri itu berkata NEA turut memperluas skopnya sejak tahun 2020 dengan memperkenalkan kategori anugerah khas untuk institusi pengajian tinggi, kontrak prestasi tenaga (EPC) dan institusi kewangan.

Kategori baharu itu diperkenalkan untuk mengiktiraf pemain industri yang telah melaksanakan atau menyokong agenda pembangunan RE dan EE negara.

Takiyuddin turut berharap NEA akan berkembang daripada platform industri utama untuk mengenal pasti organisasi terbaik Malaysia dalam melaksanakan inisiatif RE dan EE ke arah perkongsian pengetahuan untuk semua sektor di rantau ini, dan akhir sekali mampu meletakkan Malaysia sebagai peneraju pasaran serantau dalam tenaga lestari.

"Oleh kerana tenaga merupakan pusat pembangunan ekonomi, usaha untuk mengurangkan jejak karbon negara kita dalam sektor ini menerusi penggunaan amalan kelestarian, hanya dapat dicapai dengan sokongan daripada semua pihak yang berkepentingan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan