IPOH, 11 Sept -- Penduduk di bandar raya ini kini boleh memohon untuk melaksanakan projek pertanian dan kebun komuniti di dalam bandar melalui Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bermula 1 Okt ini, kata Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.
Beliau berkata usaha ini bagi memastikan setiap projek dilaksanakan secara sah dan mengikut garis panduan yang ditetapkan MBI.
“Garis panduan pertanian bandar merupakan penanaman dan penternakan secara intensif dalam bandar dan kawasan sekitarnya. Keluasan tapak adalah berskala besar iaitu minimum 0.4 hektar.
“Bagi kebun komuniti bandar pula perlu diurus oleh penduduk setempat. Keluasan tapak adalah berskala kecil iaitu maksimum kurang daripada 0.4 hektar dan pemohon perlu memohon sebagai satu komuniti dan bukan secara individu,” katanya pada sidang media selepas melawat Projek Pertanian Bandar di Gunung Masoorat, di sini hari ini.
Beliau berkata kebenaran bagi aktiviti pertanian dan kebun komuniti itu bukan sahaja untuk memperkasa sektor pertanian, bahkan bagi memastikan jaminan kecukupan makanan di peringkat negeri dan negara.
“Kalau kita gagal berbuat sesuatu, kita takut negara kita nanti tidak cukup makanan dan (oleh) sebab itu kita perlu berikan kebenaran yang sah dari sudut perundangan, untuk pastikan tanah-tanah terbiar dalam kawasan bandar raya atau pekan kita dimajukan dengan sektor pertanian ini,” katanya.
Mengulas mengenai projek pertanian bandar di Gunung Masoorat, Rumaizi berkata projek seluas 0.068 hektar itu merupakan kerjasama antara MBI dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dengan kerjasama Green Valley Agriculture serta Rymba Management & Leisure Sdn Bhd.
Tambahnya projek rintis itu menyasarkan penanaman sekitar 3,000 sayuran seperti cili dan tomato serta strawberi dan sebagainya dengan menggunakan kaedah fertigasi dan hidroponik pertanian vertikal.
“Idea dan konsep projek ini tercetus semasa penularan wabak COVID-19. Hal ini disebabkan tiada pergerakan import dan eksport bahan mentah yang menyebabkan berlakunya kekurangan sumber makanan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial