EKONOMI

RMKe-12, Bajet 2022 akan beri gambaran jelas hala tuju dasar kerajaan - Tengku Zafrul

15/09/2021 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept -- Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Bajet 2022 pada akhir September dan Oktober ini akan memberi gambaran lebih jelas mengenai hala tuju dasar kerajaan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata RMKe-12 dan Bajet 2022 itu akan turut membuka jalan bagi aspek pemulihan, pertumbuhan serta penyusunan semula sosioekonomi untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang. 

“Momentum pemulihan dijangka akan diteruskan pada tahun depan dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2022 Malaysia diunjurkan pada paras enam peratus oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan lima peratus oleh Bank Dunia,” katanya dalam Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-68 yang dikeluarkan pada Rabu.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul juga menegaskan bahawa kerajaan akan terus memastikan persekitaran negara kekal berdaya saing serta kondusif untuk menarik pelabur asing melalui insentif fiskal dan bukan fiskal serta penyediaan bakat atau tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan pengeluar kenderaan terkemuka Porsche AG memilih Malaysia sebagai lokasi pengeluaran pertamanya di luar Eropah pada Februari lepas.

“Pilihan ini mencerminkan kepercayaan syarikat antarabangsa itu terhadap ekosistem automotif negara yang kondusif,” kata beliau.

Menurut Tengku Zafrul, kemudahan atau kilang pemasangan Porsche itu akan dibuka di Kulim, Kedah, pada tahun depan menerusi kerjasama dengan Sime Darby Bhd.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan