KUALA LUMPUR, 24 Sept -- CGS-CIMB Securities Sdn Bhd optimis, namun berhati-hati bahawa Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan datang dapat memperlihatkan inisiatif yang positif terhadap sektor air.
Dalam nota hari ini, ia berkata inisiatif berkenaan boleh dilakukan dari segi pelaksanaan perbelanjaan modal (capex), disokong keputusan kerajaan yang lebih jelas mengenai Mekanisme Penetapan Tarif (TSM).
“Keperluan untuk melaksanakan TSM air yang telah lama tertangguh telah diberi penekanan oleh pemilik aset air negara, Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di Konvensyen Air Antarabangsa Malaysia 2021 (MIWC 2021) baru-baru ini,” menurut firma penyelidikan itu.
CGS-CIMB berkata TSM air merupakan komponen bersepadu bagi model capex air berikutan ia akan meningkatkan aliran tunai operator air negeri untuk menanggung bayaran sewa tambahan membabitkan capex air yang dilaksanakan PAAB.
Pada sesi pasca MIWC, katanya, agenda pembaharuan terhadap sektor air memberikan risiko peningkatan terhadap perbelanjaan kerajaan bagi infrastruktur utiliti yang telah mengalami trend kemerosotan sejak sedekad lepas.
Menyifatkan capex air sebagai tunggakan, PAAB berkata, berdasarkan belanjawan infrastruktur air yang diluluskan berjumlah RM10.7 bilion sehingga akhir Jun 2021, hanya 52 peratus atau RM5.6 bilion telah diserahkan setakat ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial