YAN, 28 Sept -- Kerajaan digesa membuat pelaburan dalam pengurusan risiko bencana geologi seperti tanah runtuh dan aliran puing terutama dalam aspek menentukan kawasan berpotensi bencana, sistem amaran awal dan mitigasi risiko serta meningkatkan daya tahan komuniti setempat yang berisiko.
Presiden Institut Geologi Malaysia (IGM) Abd Rasid Jaapar berkata pengurusan risiko bencana adalah sesuatu yang amat diperlukan bagi sesebuah negara yang sedang pesat membangun seperti Malaysia bagi mencegah atau mengurangkan sebarang kesan buruk bencana itu.
“Di peringkat antarabangsa kita menandatangani ‘Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030’ iaitu kita hendak mengikuti program ‘disaster risk reduction’ di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, tapi dari segi pelaksanaan itu kita nampak masih kurang.
“Kerajaan telah tubuhkan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), tapi dari segi pelaksanaan (pengurusan risiko bencana) masih kurang, jadi kerajaan perlu berani melabur dalam perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak kejadian aliran puing Gunung Jerai di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya amat mengalu-alukan semua inisiatif yang telah diumumkan kerajaan berkaitan pengurusan risiko bencana sebelum ini termasuk untuk menubuhkan satu pasukan pakar seperti yang dicadangkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini.
Namun Abd Rasid menegaskan semua perkara itu perlu direalisasikan dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan bukannya sekadar pengumuman retorik semata-mata setiap kali sesuatu kejadian bencana berlaku.
“Kita tidak mahu benda ini berulang-ulang lagi, bila berlaku peristiwa bencana kita akan ulang umum benda yang sama, kita tidak mahu seperti itu kerana sekarang ini sepatutnya lebih kepada pelaksanaan dan kita sebagai ahli-ahli geologi bersedia untuk membantu kerajaan dalam merealisasikan apa sahaja program kerajaan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kerajaan agar segera menubuhkan sebuah jawatankuasa yang menggabungkan semua pakar daripada pelbagai jabatan dan agensi teknikal agar maklumat berkaitan bencana dan risikonya dapat dikongsi serta tindakan yang lebih berintegrasi dapat dilaksanakan.
Dalam kejadian 18 Ogos lepas, bencana geologi aliran puing atau yang dilaporkan sebagai fenomena kepala air dari puncak Gunung Jerai telah menyebabkan enam orang terkorban dan menjejaskan lebih 800 rumah di daerah ini dan 200 lagi di Kuala Muda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial