JENAYAH & MAHKAMAH

GENG NICKY: 14 INDIVIDU DILEPASKAN TANPA DIBEBASKAN OLEH MAHKAMAH TINGGI

30/09/2021 06:46 PM

SHAH ALAM, 30 Sept -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas tanpa membebaskan 14 individu termasuk empat warganegara China serta dua adik kepada ahli perniagaan yang masih diburu, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee daripada tuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai ‘Geng Nicky’.

Dua tertuduh yang merupakan adik Nicky adalah Datuk Liow Wei Kin dan Datuk Liow Wei Loon manakala tertuduh lain ialah Lee Han Keat, Lee Kam Onn, Datuk Lee Kum Weng, Eee Eng Chee, Dr Jovian Joris Tan Chern Chian, Datuk Loo Siew Chin, Lim Kang Li, Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming serta empat warga China Huang Lei, Wang Yu Jun, Gu Xing Qiong serta Jiang Xue, yang berusia awal 20an hingga 56 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan kepada media  bahawa  Hakim Datuk Abd Halim Aman membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memohon agar kesemua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan kerana pendakwaan berhasrat untuk meneruskan pertuduhan pada masa akan datang.

Beliau berkata hakim itu memutuskan berdasarkan Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa mendakwa, tidak mendakwa dan menarik semula pendakwaan adalah berkait dengan kuasa pihak pendakwa raya.

Muhamad Iskandar berkata siasatan awal yang dijalankan pendakwaan  tidak lengkap dan pihak peguam juga telah menghantar representasi berhubung pertuduhan itu kepada Jabatan Peguam Negara.

"Peguam Negara telah meneliti representasi tersebut dan bersetuju untuk menarik balik kes ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu.

Media tidak dibenarkan berada di dalam mahkamah sepanjang prosiding kes itu berlangsung.

Peguam Datuk Rajpal Singh memohon agar kesemua anak guamnya dilepaskan dan dibebaskan atas pertuduhan itu memandangkan mereka telah ditangkap antara 18 hingga 21 Mac lepas dan ditahan selama 21 hari mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mengikut pertuduhan, 13 tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang “Geng Nicky” di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Jan 2017 dan 20 Mac 2021.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan  yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Kim Ming didakwa membantu kumpulan  jenayah sama di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Jan 2017 dan 29 Mac 2021  mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan  yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan